Aset pertahanan akan dibeli secara kerajaan dengan kerajaan - PM
- Suara Keadilan
- Aug 19
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak yang berkaitan agar perolehan aset pertahanan negara dilaksanakan menggunakan kaedah kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Tegas beliau, kaedah itu adalah bagi memastikan ia berjalan secara lebih telus, sekali gus berpotensi mengurangkan kos berbanding kebergantungan kepada syarikat ejen.
''Sebab itu saya kata dalam hal ini kena tegas, kalau tidak, tak jalan.. dan jangan lagi guna ejen-ejen terlalu banyak.
''Saya lihat bila G2G ini, (ia) lebih berkesan.. bukannya murah tapi kita boleh beritahu Presiden atau Menteri Pertahanan pantau terus, bukan kepada syarikat,'' katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bertanya adakah kerajaan bercadang untuk menggantikan kapal yang berusia 30 tahun secara serta merta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, soal perolehan mesti berjalan dengan telus dan pada masa sama menghentikan kebergantungan secara berlebihan kepada ejen.
''Mesti sebaik mungkin guna G2G. Runding betul-betul, periksa kos dan jangan campuradukkan pertimbangan politik atau orang-orang tertentu.
''Biar betul-betul seperti mana yang dibangkitkan,'' tegas beliau lagi.
Untuk rekod, pemerolehan aset pertahanan negara sebelum ini banyak menggunakan kaedah syarikat agen dan sering kali urusniaga melibatkan komisen yang tinggi.
Salah satu pembelian yang mencetuskan skandal adalah pada awal tahun 2000 lalu melibatkan pemerolehan dua buat kapal selam Scorpene dari Perancis yang turut melibatkan skandal kematian seorang penterjemah dari Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Comments