ASEAN perlu lebih berani, kreatif tangani krisis Myanmar - PM
- Helmi Mohd Foad
- 44 minutes ago
- 2 min read

ASEAN perlu mengambil pendekatan lebih berani, kreatif dan pragmatik dalam menangani krisis Myanmar termasuk meneruskan penglibatan dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian politik yang berkekalan, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, usaha ASEAN dalam menangani kemelut di Myanmar perlu diperkasakan selepas negara itu berdepan cabaran besar termasuk konflik dalaman yang berpanjangan serta bencana gempa bumi.
"Mengenai Myanmar, ketika pemimpin ASEAN bertemu baru-baru ini di Cebu [Filipina], kita membincangkan sama ada usaha kita boleh menjadi lebih berani atau lebih kreatif.
"Penglibatan pada masa depan bukan sahaja perlu lebih proaktif dan menyeluruh, tetapi juga lebih pragmatik," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-39 di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata ASEAN perlu terus memainkan peranan dengan berhubung dengan semua pihak di Myanmar termasuk pihak berkuasa di Naypyidaw, parti politik pembangkang, kumpulan bersenjata etnik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Beliau menekankan bahawa penyelesaian politik terhadap krisis Myanmar mesti datang daripada rakyat negara itu sendiri dan bukan dipaksakan oleh pihak luar.
Namun, Anwar berkata pendekatan ASEAN perlu mengambil kira realiti di Myanmar kerana penyelesaian jangka panjang memerlukan penglibatan semua pihak serta proses politik yang diterajui negara itu sendiri.
Beliau berkata, perjalanan ke arah penyelesaian dijangka mengambil masa yang panjang dan memerlukan peranan berterusan ASEAN.
"Ia akan menjadi proses yang panjang, dan di sinilah kepusatan ASEAN akan menjadi penting dalam memupuk keazaman bersama untuk bergerak ke hadapan," ujarnya.
Perdana Menteri berkata masa depan Malaysia turut berkait rapat dengan ASEAN dengan kepusatan organisasi serantau itu perlu kekal menjadi tonggak utama dasar luar negara.
"Masa depan Malaysia sentiasa berkait rapat dengan ASEAN. Sebab itu saya percaya bahawa kepusatan ASEAN, walaupun terdapat keraguan, mesti kekal menjadi asas utama dasar luar kita dan platform utama untuk kita memajukan bukan sahaja kepentingan kita tetapi juga keamanan, kemakmuran dan kestabilan serantau," kata Anwar.
Krisis Myanmar memberi kesan kepada negara jiran termasuk Malaysia yang berdepan isu kemasukan pelarian, khususnya komuniti Rohingya dengan tekanan domestik supaya penyelesaian lebih menyeluruh dicapai termasuk usaha memindahkan mereka ke negara ketiga.
Data UNHCR menunjukkan hampir 194,000 pelarian dan pencari suaka dari Myanmar berada di Malaysia, menjadikannya kumpulan terbesar pelarian di negara ini dengan majoriti daripada etnik Rohingya.
