Asas Fatwa MAIS Terhadap SIS Kukuh
- Suara Keadilan
- Jun 10
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan pemikiran liberalisme dan pluralisme pada 31 Julai 2014 telah memberi kesan secara langsung kepada SIS Forum Malaysia (SIS).
Fatwa tersebut telah menjadikan SIS sebagai sebuah pertubuhan yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Justeru SIS telah bertindak mencabar keabsahan fatwa tersebut dengan memulakan tindakan semakan kehakiman di Mahkamah Sivil. Proses undang-undang tersebut diteruskan sehingga ke peringkat Mahkamah Tinggi pada tahun 2020, namun SIS masih gagal mengubah keabsahan fatwa tersebut.
SIS tetap meneruskan asakan sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2023. Usaha mereka pada peringkat Mahkamah Pesekutuan bakal ditentukan pada 19 Jun 2025 di mana keputusan terhadap kes tersebut akan dimuktamadkan. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu ini telah mengarahkan masjid dan surau d seluruh Negeri Selangor untuk menunaikan solat hajat selepas selesai melaksanakan solat Jumaat pada 6 dan 13 Jun 2025 bagi membendung penularan dakyah SIS dari terus berleluasa.
Asas fatwa kukuh
Sesungguhnya fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS itu mempunyai asas yang kukuh untuk disokong memandangkan SIS telah menunjukkan kecenderungan yang bertentangan dengan ajaran Islam sejak sekian lama. Antara kemungkaran yang nyata disokong oleh SIS melibatkan perjuangan tehadap kesaksamaan jantina yang mendapat dokongan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sokongan ini telah dizahirkan melalui perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun 2019, perhimpunan tersebut telah disiasat oleh pihak polis mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran.
SIS turut terpalit dengan kontroversi apabila mencabar tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan Operasi Gempur Aurat, PBT telah menjalankan operasi ke atas golongan wanita Islam yang tidak memakai tudung dengan mengeluarkan kompaun.
SIS berhujah bahawa keputusan untuk bertudung adalah pilihan individu dan tidak boleh dipaksa ke atas mereka, bagi mereka al-Quran tidak pernah mewajibkan pemakaian tudung dan ia hanya pilihan peribadi seseorang. Pandangan SIS ini mendapat bantahan beberapa tokoh agama kerana boleh mengelirukan, SIS dalam isu ini cuba mengelirukan masyarakat antara hak asasi dengan kewajiban mentaati hukum syarak.
Bantah hukum hudud
Seterusnya SIS secara tegas menyatakan bantahan terhadap perlaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita. Selain itu SIS berhujah bahawa hukum hudud melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan. SIS menggunakan hujah akal tanpa melihat keseluruhan sistem perundangan Islam apabila berhujah bekenaan kes rogol, zina dan anak tidak saf taraf. SIS beranggapan beban pembuktian yang terletak pada bahu mangsa iaitu golongan wanita menyebabkan hukum hudud tidak selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah.
SIS cenderung untuk menuduh hukum hudud memperuntukkan hukuman yang kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan. Namun beberapa tokoh agamawan menentang pandangan SIS dengan hujah bahawa hukum hudud tidak boleh dilihat secara berasingan dengan nilai dan amalam Islam. Kekeliruan timbul apabila hukum hudud dibincangkan secara berasingan dengan keseluruhan ajaran Islam.
Menjadi kewajiban setiap muslim di Negeri Selangor untuk menyokong tindakan MAIS dalam mempertahankan fatwa yang dikenakan terhadap SIS. Persoalan yang dibangkitkan oleh SIS ini telah dijawab oleh cendekiawan Islam beratus tahun dahulu.
Namun apabila perbincangan berkenaan hukum syarak dilakukan oleh orang yang berada di luar bidang, maka persoalan yang ditimbulkan menjadi lebih rumit. Tambahan pula SIS tidak mengambil pendirian belajar dan bertanya, mereka lebih cenderung untuk menetang autoriti agama di Malaysia sehingga memberi kesan buruk kepada imej Islam.
Justeru tindakan MAIS mengarahkan umat Islam bersatu untuk menyatakan solidariti penentangan terhadap kesesatan SIS adalah disokong oleh ummah seluruh Negeri Selangor.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments