AS turunkan kadar tarif, kemenangan besar diplomasi ekonomi - AMK
- Suara Keadilan
- Aug 1
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan kejayaan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurangkan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat kepada 19% sebagai satu kemenangan besar diplomasi ekonomi negara.
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, keputusan Washington itu bukan sahaja mencerminkan penghormatan terhadap kepimpinan Anwar di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan Malaysia berunding secara berprinsip tanpa tunduk kepada tekanan luar.
"Kejayaan ini adalah kemenangan penting dalam diplomasi ekonomi negara sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan Perdana Menteri bukan sahaja tegas mempertahankan kepentingan nasional, malah dihormati di pentas antarabangsa," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
AMK menegaskan kejayaan menurunkan tarif dicapai tanpa Malaysia mengorbankan sebarang dasar utama menyentuh kepentingan rakyat seperti pelan transformasi industri, perlindungan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta agenda pembangunan hijau dan teknologi tinggi adalah sesuatu yang hebat.

"Kerajaan Madani tidak tunduk kepada tekanan luar sebaliknya berunding dengan prinsip dan strategi yang berpaksikan kepentingan rakyat," tegas Danish.
Dalam kenyataan itu, AMK turut melihat pencapaian ini sebagai cerminan perubahan budaya pentadbiran yang lebih profesional, berpandangan jauh dan konsisten dengan reformasi struktur ekonomi yang digariskan kerajaan.
Langkah penurunan tarif timbal balik AS juga, katanya, akan membuka lebih banyak ruang untuk syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing industri negara.
Sehubungan itu, AMK menyeru golongan muda khususnya usahawan, pengeluar dan pengeksport untuk memanfaatkan peluang yang telah dibuka hasil rundingan berprinsip oleh kerajaan.
"Gunakan ruang ini untuk menembusi pasaran global dengan lebih berani dan berdaya saing," kata Danish lagi.
Comments