AS turun tarif eksport Malaysia 19 peratus tanpa korban kedaulatan negara - MITI
- Suara Keadilan
- Aug 1
- 3 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia mencapai kejayaan penting dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) apabila kadar tarif ke atas eksport negara dikurangkan daripada 25% kepada 19% berkuat kuasa mulai hari ini tanpa mengorbankan sebarang dasar penting atau kedaulatan negara.
Keputusan ini adalah hasil daripada proses rundingan intensif selama hampir tiga bulan yang bermula pada 6 Mei dan dimuktamadkan pada 31 Julai lalu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kecekapan dan pendekatan menyeluruh dalam rundingan dua hala, tanpa mengalah terhadap sebarang ‘garisan merah’ yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan AS itu mencerminkan hubungan ekonomi erat dan kukuh antara kedua-dua negara sejak lebih 60 tahun lalu.
"Keputusan ini mencerminkan kredibiliti Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai.
"Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat serta Jabatan Perdagangan mereka sepanjang proses rundingan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam laporan media tempatan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjelang tarikh akhir pengumuman tarif baru AS ke atas barangan Malaysia pada 1 Ogos.
Anwar menyebut bahawa panggilan tersebut berlangsung dalam semangat dagangan bebas dan selepas penjelasannya, Trump bersetuju untuk menangguhkan pengumuman tarif sehingga hari ini dan menyatakan bahawa beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober nanti.
Laporan media hari ini menyebut AS mula mengenakan tarif 19 peratus terhadap Malaysia serta empat lagi negara anggota ASEAN iaitu Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia berkuat kuasa hari ini melalui perintah eksekutif yang dikeluarkan Rumah Putih semalam.
Pada awal Julai lalu, Washington menetapkan tarif 25 peratus untuk produk Malaysia namun kadar itu diturunkan kepada 19 peratus selepas rundingan bersama.
Vietnam dikenakan kadar tarif 20 peratus manakala Brunei (25 peratus). Singapura kekal menikmati kadar tarif paling rendah dalam kalangan negara ASEAN iaitu 10 peratus.
Laos dan Myanmar dikenakan tarif tertinggi di rantau ini masing-masing 40 peratus.
Menurut MITI, kadar tarif baharu 19% ini adalah setanding dengan negara-negara serantau di Asia Tenggara di mana keputusan itu dicapai selepas pelbagai perbincangan melalui platform dua hala dengan disokong data impak ekonomi yang dikaji bersama Bank Negara Malaysia.
"Dalam beberapa bulan mendatang, MITI akan melaksanakan siri libat urus bersama pemain industri untuk memperincikan pelaksanaan kadar tarif baharu bagi pasaran eksport ke Amerika Syarikat," kata kementerian itu.
Selaras dengan perubahan kadar tarif, MITI akan melaksanakan beberapa langkah strategik bagi memastikan eksport negara terus kompetitif dan terpelihara.
Katanya perkara itu termasuk menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak tarif ke atas eksport Malaysia.
Dalam hal ini, MITI menjelaskan kerajaan menggalakkan syarikat tempatan memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada untuk meluaskan pasaran.
Katanya kerajaan juga akan meneruskan program reformasi industri seperti dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Nasional Semikonduktor dan meneliti mekanisme sokongan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam kenyataan itu juga, MITI menekankan bahawa meskipun ekonomi global terus dilanda ketidaktentuan sejak Mac 2025 akibat ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan yang berubah-ubah, Malaysia masih berada dalam kedudukan kukuh hasil sokongan dasar fiskal dan reformasi ekonomi yang konsisten.
"MITI komited untuk terus memaksimumkan peluang daripada perkembangan ini, termasuk memanfaatkan momentum pelaburan yang diluluskan, pelaksanaan projek infrastruktur, dan pelbagai inisiatif pembangunan nasional," jelas Tengku Zafrul.
Amerika Syarikat kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM198.65 bilion pada 2024.
Negara kuasa besar itu juga merupakan pelabur asing terbesar dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM32.82 bilion.
Comments