AS puji peranan Malaysia jadi orang tengah gencatan senjata Kemboja-Thailand
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Amerika Syarikat (AS) memuji peranan aktif Malaysia dalam proses memeterai perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan semalam dengan menyifatkan langkah itu sebagai satu kejayaan diplomatik penting bagi rantau Asia Tenggara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyampaikan penghargaan mendalam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau sebagai Pengerusi ASEAN serta kejayaan Malaysia menganjurkan rundingan damai di Putrajaya.
"Amerika Syarikat mengalu-alukan persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand.
"Kami amat menghargai peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah menunjukkan kepimpinan luar biasa dalam usaha ini," kata Rubio dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam web Jabatan Negara AS.
Rubio menyifatkan kejayaan rundingan itu sebagai bukti nyata komitmen Malaysia terhadap keamanan serantau dan keberkesanan diplomasi ASEAN.
Rundingan damai yang diadakan secara tertutup di Putrajaya pada 27 dan 28 Julai lalu itu menyaksikan wakil tertinggi dari Phnom Penh dan Bangkok mencapai kata sepakat untuk menghentikan segala bentuk ketegangan ketenteraan yang tercetus sejak lima hari lalu di kawasan sempadan wilayah Banteay Meanchey dan Sa Kaeo.
Rubio turut menggesa kedua-dua negara agar terus mematuhi komitmen yang telah dipersetujui, di samping menekankan bahawa Washington akan terus menyokong sebarang inisiatif damai yang diketuai oleh ASEAN, termasuk kerjasama tiga hala antara Malaysia, China dan Amerika Syarikat.
"Kejayaan ini bukan sahaja mencegah pertumpahan darah daripada terus berlaku malah memberi ruang kepada dialog konstruktif yang boleh membawa kepada penyelesaian jangka panjang," tambah beliau.
Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan bahawa pertemuan dua hala itu berlangsung dalam suasana positif dan saling menghormati, dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator bebas dan adil.
Wisma Putra menyatakan usaha damai itu adalah seiring dengan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).
Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang tercetus minggu lalu mengakibatkan beberapa insiden tembakan artileri ringan dan pemindahan ribuan penduduk, sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa.
Comments