AS perlu campur tangan bebas sukarelawan GSF, benar misi bantuan Gaza
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 2 min read

Penahanan haram tentera Israel ke atas sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut melibatkan 15 rakyat Malaysia dibantah masyarakat dunia termasuk anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Kumaresan Aramugam berkata, sekatan terhadap misi kemanusiaan ke Gaza adalah satu kezaliman dan jenayah antarabangsa yang tidak boleh dimaafkan.
ADUN Batu Uban, Pulau Pinang itu berkata, penderitaan rakyat Palestin semakin meruncing apabila hospital dan kawasan awam menjadi sasaran pengeboman udara Israel.
Beliau yang turun berdemonstrasi petang semalam ke Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menegaska, ramai penduduk Gaza yang mati kebuluran akibat ketiadaan makanan serta ubat-ubatan sejak setahun lalu, dan mereka berhak mendapat bantuan yang dibawa oleh konvoi GSF.
"Petang tadi (semalam), saya telah turun menghadiri Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla bersama Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Saudara Kamil Munim.
"Himpunan ini bermula di The Linc, Kuala Lumpur dan berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Malaysia yang kini ditahan oleh tentera Israel, serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada misi Flotilla kemanusiaan yang berjuang membawa bantuan ke Gaza," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, KEADILAN bersama pihak penganjur turut menghantar memorandum kepada Kedutaan AS menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan tentera Israel; jaminan keselamatan aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata; dan penolakan terhadap cadangan Washington mengenai pelan pembangunan Gaza yang menafikan suara serta hak rakyat Palestin.
"Kami mendesak Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya untuk melepaskan kesemua sukarelawan misi Flotilla, membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin," katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tanjong berkata, akan terus teguh menyuarakan solidariti sehingga Palestin benar-benar bebas.









Comments