top of page

AS perlu bebaskan segera Presiden Venezuela - KEADILAN Johor

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jan 7
  • 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Venezuela tempoh hari, yang disifatkan sebagai tidak bermoral, melanggar undang-undang antarabangsa dan menghina kedaulatan sebuah negara berdaulat.


Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim berkata, tindakan unilateral oleh kuasa besar tersebut mencerminkan sikap angkuh dan hipokrit apabila prinsip demokrasi serta hak asasi manusia sering dipaksa kepada negara lemah, namun dicabuli apabila tidak selari dengan kepentingan geopolitik AS.


Katanya, menurunkan seorang ketua kerajaan seharusnya dilakukan oleh rakyat Venezuela sendiri dan tidak wajar ditentukan oleh kuasa asing.

Fakharuddin Moslim
Fakharuddin Moslim

"KEADILAN Johor menegaskan bahawa Nicolás Maduro merupakan pemimpin sah yang dipilih oleh rakyat Venezuela, dan sebarang tindakan penahanan, tekanan politik atau usaha menjatuhkan kepimpinan negara tersebut adalah satu bentuk pencerobohan terhadap hak rakyat untuk menentukan masa depan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, beliau menuntut pembebasan segera Maduro serta penghentian segala bentuk serangan, sekatan ekonomi dan campur tangan asing terhadap negara tersebut.


"KEADILAN Johor menuntut pembebasan segera Nicolás Maduro serta penghentian segala bentuk serangan, sekatan dan campur tangan asing terhadap Venezuela," katanya.


Tambah Fakharuddin, KEADILAN Johor percaya bahawa semua pertikaian antarabangsa perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan mekanisme aman, bukannya kekerasan ketenteraan yang hanya akan mengorbankan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa.


"KEADILAN Johor berdiri teguh mempertahankan prinsip kedaulatan negara, keadilan sejagat dan keamanan dunia, serta menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar bertindak tegas menolak sebarang bentuk pencerobohan dan penindasan kuasa besar terhadap negara-negara membangun," katanya.


Untuk rekod, Maduro kini dibicarakan di AS atas tuduhan jenayah berkaitan dadah dan pemangku Presiden yang baharu dilantik Delcy Rodriguez diancam akan menerima nasib sama sebagaimana Maduro sekiranya tidak bekerjasama dengan AS.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page