top of page

AS iktiraf peranan penting PMX, Malaysia dalam ASEAN - David Cheong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 28
  • 2 min read

Presiden AS, Trump, banyak memuji peranan PMX dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam kunjungannya
Presiden AS, Trump, banyak memuji peranan PMX dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam kunjungannya

Oleh: Akmal Manaf


Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), menaiki kenderaan rasminya, 'The Beast', menuju ke lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 mencerminkan penghormatan dan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Anwar di pentas antarabangsa.


Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young berkata, lawatan bersejarah itu turut melambangkan penghormatan besar terhadap peranan Malaysia dan ASEAN dalam menjamin keamanan serta kemakmuran rantau Asia Tenggara di bawah pimpinan PM Anwar selaku Pengerusi ASEAN.


''Dalam ucapannya, Presiden Trump turut memuji usaha PMX dalam meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja, yang berjaya dicapai melalui rundingan diplomatik berasaskan prinsip dialog, keadilan dan kemanusiaan.


''Beliau menyifatkan pendekatan Malaysia sebagai 'contoh diplomasi moden yang beradab dan berkesan' sejajar dengan nilai MADANI yang menekankan ihsan, hormat dan kesejahteraan bersama.


''Pengiktirafan itu membuktikan bahawa kepimpinan Malaysia di bawah PMX mampu menjadi penyatu serantau, bukan hanya dalam isu ekonomi tetapi juga dalam keamanan dan kemanusiaan,'' katanya dalam satu kenyataan.

David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

Dari sudut ekonomi kata David Cheong, kehadiran Presiden Trump turut membuka ruang baharu bagi memperkukuh kerjasama pelaburan dan perdagangan strategik antara AS dan ASEAN.


Ujar Ahli Dewan Negeri Kajang itu, Malaysia berada dalam posisi istimewa untuk menarik pelaburan dalam bidang teknologi hijau, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan Ekonomi MADANI yang menumpukan kepada kemampanan dan kesejahteraan rakyat.


''Dalam masa sama, PMX menggunakan platform ASEAN untuk menegaskan pendirian Malaysia terhadap isu Gaza, menyeru kuasa-kuasa besar, termasuk AS agar menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan menghormati hak asasi kemanusiaan.

''Langkah itu memperlihatkan keberanian moral Malaysia untuk bersuara atas dasar prinsip dan nilai sejagat, tanpa menjejaskan hubungan diplomatik dengan mana-mana pihak,'' katanya lagi.


David Cheong yang menyambut baik kedatangan Trump menegaskan bahawa keseluruhan episod lawatan ini mencerminkan kejayaan diplomasi MADANI yang seimbang antara kekuatan ekonomi, nilai kemanusiaan dan semangat perpaduan budaya.


Katanya, kepimpinan PMX telah mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang matang, dihormati dan berperanan besar dalam membentuk masa depan rantau ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page