top of page

Arus perdanakan budaya membaca, PM teruskan Baucar Buku Madani RM100

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 29
  • 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ibu bapa membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak-anak dengan meluangkan sekurang-kurangnya setengah jam hingga satu jam setiap malam.

Perdana Menteri (PM) berkata, langkah sedemikian berpotensi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan cintakan buku dalam tempoh sedekad akan datang.


"Anak-anak ini indah, potensi (mereka) sangat baik. Bila saya katakan boleh janji tak dengan atuk? Malam ini baca buku, boleh (jawapannya).


"Berapa lama? (saya menyoal). Kalau dia kata setengah jam pun saya sudah gembira.


"Kalau ibu bapa di rumah, memantau dan menggalakkan anak-anak (membaca), bayangkan dalam 10 tahun (akan datang), kita ada generasi baharu yang minat membaca," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.


Selain itu, PM juga mengumumkan kerajaan meneruskan pemberian Baucar Buku Madani sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).


PM berkata, dalam soal program Baucar Buku Madani, beliau tiada pilihan selain meneruskannya biarpun ketika suasana ekonomi global tidak menentu.


Katanya, keupayaan kerajaan ketika ini membabitkan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT di bawah KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


"Saya berpendapat soal buku dan pendidikan tidak boleh diketepikan dan mesti terus diberikan keutamaan.


"Justeru, semua pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan mahasiswa IPT di bawah KPT akan menerima bantuan RM100 seorang.


"Namun, saya ingin tegaskan bahawa berdasarkan kemampuan kewangan semasa, bantuan ini hanya melibatkan pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan mahasiswa IPT di bawah KPT," katanya.


PBAKL kali ke-43 ini akan berlangsung sehingga 7 Jun depan dengan menghimpunkan 198 syarikat pempamer yang mengendalikan sebanyak 1,210 reruai.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dan memperkasa kemudahan asas pendidikan di semua peringkat, sama ada di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.


Beliau berkata, usaha berkenaan akan terus diberi keutamaan dan dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang gangguan demi memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page