Arahan tutup premis waktu solat Jumaat urusan pentadbiran negeri – Zulkifli


Arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat merupakan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain bertujuan memelihara syiar Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, peraturan berkenaan mempunyai asas perundangan melalui enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, termasuk di Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong semalam yang mempertikaikan arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat, termasuk membabitkan rangkaian kedai serbaneka seperti 7-Eleven.
Menurut Zulkifli, kewajipan menunaikan solat Jumaat bagi lelaki Islam serta tuntutan meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya jelas dinyatakan dalam Surah al-Jumu'ah, ayat 9.
"Dalam Islam, setiap lelaki wajib menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya adalah tuntutan agama yang jelas berlandaskan Surah al-Jumu'ah, ayat 9, dan bukannya sekadar satu amalan budaya," katanya dalam kenyataan di media sosial, semalam.
Beliau berkata, peraturan PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah selain memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan beragama Islam menunaikan solat Jumaat tanpa sebarang kekangan.
Justeru, beliau menggesa Poay Tiong supaya menghormati urusan pentadbiran sesebuah negeri serta sensitiviti umat Islam dalam membangkitkan isu berkenaan.
Katanya, setiap pemimpin perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan, khususnya dalam perkara membabitkan amalan agama dan keharmonian masyarakat majmuk.
"Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik," katanya lagi.




Comments