KEADILAN Cabang Bayan Baru, Pulau Pinang membuat laporan polis semalam berhubung tindakan provokasi seorang pemuda Cina mengarahkan jemaah Masjid Jamek Sungai Puyu memperlahankan laungan azan.
Menurut kenyataan KEADILAN Bayan Baru, laporan telah dibuat di Balai Polis Bayan Baru oleh Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang, Hj Ramli.
Timbalan Ketua KEADILAN Cabang saudara Azrizal Tahir, Setiausaha KEADILAN Cabang saudara Suhairi dan Ketua Operasi KEADILAN Cabang Bayan Baru saudara Anuar turut hadir memberi sokongan.
"Hj Ramli dalam laporan polis menekankan agar pihak berwajib menguatkuasakan tindakan undang-undang berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam.
"Masjid Jamek Sungai Puyu telah beroperasi dan melaungkan azan sejak lebih 100 tahun lalu dan tindakan pemuda tersebut telah mencabar kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Agama Islam di Pulau Pinang," kata kenyataan tersebut.
KEADILAN Bayang Baru juga mahu pemuda tersebut disiasat di bawah Akta Hasutan kerana provokasinya berunsur hasutan dan boleh menyebabkan pergaduhan antara kaum dan agama.
Comments