APMM di Masjid Rusila: Jangan jadikan Parlimen bangkit sentimen raih untung politik
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas membangkitkan sentimen yang menimbulkan keresahan awam demi meraih keuntungan politik.
Beliau menegaskan, isu kononnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengadakan latihan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu telah diselesaikan dengan baik dan tidak wajar diheret ke Parlimen dengan naratif berlebihan termasuk mengaitkannya dengan tragedi Memali pada 1985.
"Kes ini sudah selesai, malah Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) juga telah mengadakan pertemuan, dan kedua-dua pihak berpuas hati. Jadi tidak perlu diperbesarkan seolah-olah berlaku sesuatu yang luar biasa," katanya dipetik.
Saifuddin berkata begitu pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi 2025 Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Khamis.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sesi Dewan Rakyat pada Rabu mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu dari pasukan APMM menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran, menyebabkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan jemaah.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim kemudian dilapor media cuba menyamakan kejadian itu dengan tragedi berdarah, Memali malah mempersoalkan apakah latihan itu sebahagian daripada rancangan untuk memudaratkan Presiden Pas Hj Hadi Awang.
"Ini yang saya maksudkan, berpada-padalah dalam mengulas perkara yang membabitkan isu keselamatan dan tanggungjawab pasukan penguatkuasa kerana boleh mencetuskan persepsi salah terhadap pasukan penguatkuasa.
"Kalau ada Ahli Parlimen ambil sikap seperti itu, bayangkan bagaimana reaksi netizen di luar sana," tegas Saifuddin.
Beliau sementara itu menjelaskan, program latihan berkenaan adalah sebahagian daripada latihan taktikal Maritim Malaysia yang melalui beberapa lokasi di Terengganu termasuk terminal bas, pasar dan premis awam, sebelum berakhir di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.
"Anggota terlibat hanya singgah di Masjid Rusila untuk menunaikan solat asar. Saya sendiri meneliti rakaman CCTV dan tiada apa-apa luar biasa berlaku," jelasnya.





