top of page

APHM puas hati peruntukan sektor kesihatan amat membantu



Peruntukan belanjawan untuk sektor kesihatan yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat semalam disifatkan mencukupi untuk membantu rakyat.


Keyakinan itu dinyatakan Presiden Persatuan Hospital Swasta (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh melalui satu laporan media.


Menurut beliau, walaupun peruntukan yang meningkat dari RM32.4 bilion untuk tahun lalu ke RM36.3 bilion tidak mencecah sebanyak lima peratus peruntukan seperti dimohon sebelum ini, namun ia dianggap sebagai cukup menggalakkan.


"Perkara paling penting dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi adalah pelaksanaannya.


"Ia berikutan ketika ini ramai pesakit yang menunggu rawatan di Jabatan Kecemasan hospital awam, wad dan di rumah.


"Kami berharap supaya pelaksanaannya dapat disegerakan memandangkan belanjawan ini adalah untuk tahun ini," katanya ketika mengulas mengenai peruntukan untuk sektor kesihatan itu.


Sebagai rekod, sektor kesihatan mendapat peruntukan kedua terbesar dalam belanjawan yang akan meliputi keperluan perolehan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna habis.


Jumlah itu adalah termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.


Selain itu peruntukan tersebut bertujuan memperkasa Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) untuk kemudahan pemeriksaan atau saringan awal khas bagi golongan B40 dan beberapa projek naik taraf dan pembinaan kemudahan kesihatan.


Ketika pembentangan itu juga, Anwar secara khusus mengumumkan peruntukan bagi tujuan menyumberluaran pesakit ke Hospital Tentera dan Hospital Swasta untuk mengurangkan kesesakan di Hospital Awam.


Dr Kuljit sementara itu berkata, pusat perubatan swasta bersedia membantu sektor kesihatan awam, termasuk berunding mengenai bayaran balik yang munasabah untuk menjadikan penyumberan luar yang mampan sepanjang tahun.


"Pun begitu, ia bergantung kepada kapasiti terkini pusat perubatan swasta yang ketika ini juga melebihi kapasiti.


"Pembinaan lebih banyak infrastruktur adalah bagus dalam sektor kesihatan awam, namun aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan dan pengekalan sumber manusia.


"Belanjawan itu seharusnya menangani keperluan khusus imbuhan dan latihan dalam penjagaan kesihatan awam," jelasnya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page