top of page

APEC: PMX letak Malaysia berperanan dalam teknologi AI, tenaga hijau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau dilihat sebagai strategi geopolitik yang bijak dalam menarik pelaburan serta teknologi daripada kuasa besar dunia, kata pakar geostrategis, Dr Azmi Hassan.


Menurut beliau, tumpuan Malaysia terhadap pembangunan AI bukan sahaja bertujuan memperkasa ekonomi digital, tetapi juga untuk menjadikan negara ini hab pengkalan data utama di rantau Asia Tenggara.


"Tidak syak lagi Datuk Seri Anwar mahu Malaysia memberi tumpuan kepada AI dan pusat pengkalan data seperti yang sedang berlangsung di Johor. Banyak syarikat, termasuk dari Jepun, telah menubuhkan pusat data di sana.


"Inisiatif itu turut disokong oleh agenda tenaga hijau negara, khususnya peranan Sarawak sebagai ‘bateri hijau ASEAN’ dalam membekalkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro kepada rantau ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Dr Azmi Hassan
Dr Azmi Hassan

Dr Azmi mengulas perbincangan Malaysia bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea bagi pembangunan infrakstruktur AI menggunakan tenaga hijau bernilai RM10 billion dan rancangan kerjasama antara JS Link dan Lynas Malaysia bagi penubuhan fasiliti pembuatan bernilai RM600 juta bagi penghasilan "super magnet" menggunakan nadir bumi di sela sela Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu lalu.


Berikutan itu kata Dr Azmi, rundingan Perdana Menteri di Gyeongju bersama syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, NVIDIA, adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan kepakaran dan cip AI yang amat diperlukan dalam pembangunan teknologi tersebut.


"Strategi Datuk Seri Anwar ialah mendapatkan teknologi daripada semua sumber, dari Amerika Syarikat melalui NVIDIA, dan dari China yang menawarkan teknologi AI serta tenaga hijau dengan harga kompetitif.


"Malaysia juga mendapat manfaat daripada perjanjian China-ASEAN Free Trade Area (CAFTA) versi 3.0 yang baru dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN, yang menumpukan kepada kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan teknologi digital," ujar beliau.


Manakala mengenai isu sumber nadir bumi, Dr. Azmi menjelaskan bahawa Malaysia kekal terbuka dalam menjual bahan tersebut kepada mana-mana negara tanpa sekatan, walaupun selepas termeterainya perjanjian ART dengan Amerika Syarikat.


“Kita tidak berniat menjadikan nadir bumi sebagai senjata ekonomi seperti yang dilakukan Beijing. Malah perjanjian dengan AS memberi keuntungan kerana mereka boleh menyalurkan teknologi memproses nadir bumi,” katanya.


Dr. Azmi menambah, China dan Australia turut menawarkan kepakaran dalam pemprosesan bahan tersebut bagi meningkatkan nilainya di pasaran antarabangsa.


Katanya pendekatan dasar luar Malaysia yang seimbang dan pragmatik membolehkan negara meraih kelebihan daripada semua kuasa besar tanpa terikat pada mana-mana blok, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi digital dan tenaga hijau ASEAN.


“Dalam hal ini, kita untung kerana China mahu beri teknologi, Amerika Syarikat pun sama. Malaysia bijak “bermain di dua atau tiga kolam”, asalkan ia memberi manfaat kepada negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page