Keputusan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba untuk membeli 500 buah ambulans bersistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV di saat negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam memberhentikan rantaian jangkitan Covid 19 menimbulkan pelbagai persoalan.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH), keputusan itu mencetuskan spekulasi negatif apabila ia melibatkan kewangan negara berjumlah RM300 juta.
"Apakah rasionalnya pembelian ini? Apakah data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit Covid 19 ini sehingga menyebabkan Dr Adham memutuskan untuk membeli ambulan jenis ini dan sebanyak itu?
"Berapakah jumlah anggota frontliners yang mengendalikan pengangkutan pesakit Covid atau jenazah pesakit Covid yang telah terjangkiti (dengan menggunakan ambulans jenis sedia ada) ataupun menyumbang kepada kluster baru di negara ini?
"Ini adalah suatu pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik Covid 19 di Malaysia.
"Alangkah baiknya jika wang itu diguna melaksanakan perkara-perkara seperti mengambil lebih ramai sukarelawan dalam PICK serta memperbanyakkan Program Ujian Saringan besaran-besaran, supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang didapati positif. Cara ini sudah tentu dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif," kata kenyataan itu.
Menurut jawatankuasa itu lagi, alangkah baiknya sekiranya peruntukan mega itu digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mendapatkan imunisasi kelompok menjelang hujung tahun ini.
"Seharusnya peruntukan diguna untuk memperbanyakkan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) supaya akses kepada vaksin menjadi lebih mudah, termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik-klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti.
"Memperluaskan lagi klinik bergerak agar vaksin meliputi lebih ramai penduduk di kawasan pendalaman dan luar bandar.
"Juga memperbanyak lagi PPV pandulalu (drive-thru) sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar.
"Kita turut mendesak supaya Menteri memberikan jawaban kepada persoalan-persoalan ini dengan lebih telus, jelas dan dengan kadar segera," kata mereka.
Sehubungan itu Jawatankuasa Kesihatan PH menanyakan beberapa soalan untuk dijawab oleh Menteri Kesihatan berhubung pembelian ambulans terbabit.
"Mengapakah Kementerian memulakan tender 500 ambulan ini dalam keadaan yang tergesa-gesa? Adakah keputusan ini telah mendapat kelulusan kabinet?
"Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan secara terbuka atau bagaimana? Dan syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya?" tanya mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor, AMANAH), Dr Lee Boon Chye (Gopeng, KEADILAN), Dr Ong Kian Ming (Bangi, DAP), Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Lumut, AMANAH), Dr Kelvin Yil (Bandar Kuching, DAP), Sim Tze Tzin (Bayan Baru, KEADILAN), Alice Lau (Lanang, DAP), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kerajaan Negeri Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang), Veerapan Supramaniam (Exco Kerajaan Negeri Sembilan), Dr Niekmah Adam (AMANAH) dan Dr Zaliha Mustafa.
Comments