top of page

Apakah Pas sanggup tarik balik Amanat Hadi demi kerjasama Umno?

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 18 minutes ago
  • 1 min read

Ketulusan Pas menjalin kerjasama dengan Umno terus membangkitkan persoalan sama ada ia benar-benar demi kepentingan rakyat atau sekadar percaturan politik demi meraih kuasa.


Setiausaha Pemuda AMANAH, Ahmad Shahir Mohd Shah menegaskan, sekiranya Pas ikhlas, parti itu sepatutnya berani menarik balik fatwa yang pernah 'mengkafirkan' Umno menerusi Amanat Haji Hadi pada 1981.


Walau bagaimanapun, beliau yakin Pas tidak akan sesekali membangkitkan atau menarik balik fatwa berkenaan demi menjaga kepentingan politik sendiri.


"Mereka akan konsisten memainkan sentimen perjuangan agenda Melayu-Islam yang tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk merampas kuasa daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan.


Menerusi kenyataan sama Ahmad Shahir turut membidas dakwaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan Pas dan Umno mempunyai persamaan dari sudut akidah dan kepentingan umat Islam, sedangkan kedua-dua parti itu mempunyai asas dan agenda perjuangan yang berbeza.


"Saya tidak merasakan ‘akidah’ antara Pas dan Umno itu sama. Kalau tengok kepada dasar-dasar mereka hanya menyebut tentang Islam tetapi Islam yang difahami atau yang dibawa oleh Pas itu berbeza seperti mana juga dengan Umno.


"Jadi sebenarnya itu adalah jurang yang sukar untuk mereka satukan. Apa yang mereka boleh satukan ialah misi untuk mendapatkan tampuk kuasa.


"Kedua-dua parti mahu mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN. Itu sahaja matlamatnya, cuma kalau tanya saya apakah Pas menarik balik fatwa, saya tak nampak usaha itu akan dibuat," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page