top of page

Apakah maksud, kesan perisytiharan Darurat kepada Farid dan Jacky?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jan 24, 2021
  • 3 min read


Oleh: Datin Paduka Dr Tan Yee Kew


Farid seorang pekerja syarikat pemindahan dan pembungkusan sehinggalah dia diberhentikan kerja beberapa bulan yang lalu ketika syarikat tidak lagi dapat menampung kakitangan kerana kemerosotan perniagaan.


Beliau menemui saya 3 minggu yang lalu untuk memohon modal RM100 bagi memulakan perniagaan nasi lemak. Saya tidak fikir, perniagaan dia akan kekal disebabkan terlalu banyak gerai nasi lemak tumbuh di Wangsa Maju sejak Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan semua orang dibenarkan membuka gerai berniaga di mana mana dalam Kuala Lumpur. Ternyata benar, di mana akhirnya Farid gagal dalam perniagaan dan kembali tidak bekerja.


Jacky pula adalah pelatih saya dan juga penuntut Diploma di Kolej TAR. Bagi membiayai yuran kolej, dia membasuh pinggan di restoran pada sebelah malam. Dia memberitahu saya bahawa dia baru sahaja kehilangan kerja sambilan itu disebabkan tiada lagi pinggan untuk dicuci semenjak restoran tidak membenarkan pelanggan makan di kedai apabila bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambah beliau, restoran tempatnya bekerja bakal ditutup tidak lama lagi kerana pelanggan yang semakin berkurangan dan tidak mampu menampung kos operasi.


Hilang pekerjaan disebabkan darurat


Sudah pasti terdapat ratusan ribu pekerja dan pekerja sambilan seperti Farid dan Jacky yang hilang pekerjaan disebabkan Covid-19. Namun keadaan yang paling buruk masih belum berlaku. Perkara yang membimbangkan ialah pengisytiharan Darurat baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan harapan untuk ekonomi kembali pulih malah menyebabkan lebih banyak perniagaan tutup.


Dr Tan Yee Kew

Ramai rakyat Malaysia yang sedang mencari rezeki pada waktu kesusahan ini tidak ambil kisah dengan Darurat atau penggantungan Parlimen. Hakikatnya ini amat penting buat mereka walaupun mereka tidak memahaminya.


Sentimen pelaburan sebahagian besarnya berdasarkan persepsi. Pengisytiharan Darurat selama 6 bulan menandakan ketidakstabilan politik dan krisis. Tuntutan Perdana Menteri bahawa Darurat diperlukan untuk mengawal penyebaran Covid-19 dan bahawa ia bukan peraturan ketenteraan tidak cukup baik sebagai jaminan kepada para pelabur, baik dalam dan luar negara.


Rasionalnya di semua negara lain, Darurat untuk membendung penyebaran virus di mana kebanyakannya hanya berlaku dari beberapa hari hingga 2 minggu, dan tidak pernah melebihi 2 bulan. Mengapa Malaysia yang hanya berkedudukan 69 dari 219 negara di dunia dari segi jumlah kes Covid-19 memerlukan sehingga 6 bulan? Mengapa penggantungan Parlimen, sedangkan itu bukan norma untuk keadaan darurat kesihatan?


Kerajaan PN sedang runtuh


Kesimpulan paling logik adalah Kerajaan PN, yang hanya memiliki 4 undi majoriti di Parlimen, sedang runtuh, dan tujuan Darurat hanyalah untuk menghentikan Parlimen dari mengadakan usul Undi Tidak Percaya.


Tiada pelabur yang waras akan melabur di negara ketika kerajaannya akan runtuh dan masa depan negara itu tidak dapat diramalkan.


Azmin Ali bercakap perkara yang tidak masuk akal ketika dia mengatakan bahawa perlaksanaan Darurat tidak akan mempengaruhi keyakinan pelabur. "Sejak darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari, kegiatan perniagaan terus berjalan seperti biasa", dia mempertikaikannya pada 17 Januari, hanya 5 hari selepas perisytiharan.


Adalah amat memalukan bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tidak mengetahui bahawa apabila pelabur memutuskan untuk tidak melabur di Malaysia atau memindahkan kilang mereka ke negara lain, kesannya rakyat di bawah tidak akan terasa dalam beberapa hari, tetapi kesan buruk itu pasti datang.


Pusaran wang terhad


Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mengalami penurunan sejak 10 tahun kebelakangan ini, di atasi oleh Indonesia, Vietnam dan Thailand. Darurat ini di mana telah merosakkan keyakinan pelabur adalah satu lagi tamparan besar dalam usaha kita menarik FDI.


Namun kesan darurat ini bukan hanya mengenai FDI, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan juga terjejas. Sebilangan besar PKS kita adalah kontraktor dan pembekal perkhidmatan kepada Syarikat Multinasional (MNC). Apabila syarikat MNC mula meninggalkan negara atau mengecilkan operasi, syarikat PKS juga harus memberhentikan pekerja. Syarikat PKS yang tidak bergantung pada MNC atau syarikat besar untuk perniagaan juga dipengaruhi oleh suasana pasif keseluruhan di negara ini.


Bagi menghadapi ketidakpastian dalam keadaan darurat dan menjangkakan ekonomi tanpa pertumbuhan untuk beberapa tahun ke hadapan, beberapa PKS menangguhkan rancangan pengembangan mereka, manakala yang lain memilih untuk menghentikan operasi sementara menunggu krisis politik berakhir.


Akibatnya, berlaku hanya sedikit aktiviti ekonomi dan sedikit pusaran wang tunai di pasaran semakin terhad. Ini menyebabkan, semakin sedikit orang yang akan membeli rumah atau melakukan pengubahsuaian dan makin sedikit pelanggan akan pergi ke restoran dan pasar raya.


Di penghujung rantaian tindakan dan reaksi ekonomi inilah bakal terdapat ratusan ribu rakyat kerdil seperti Farid dan Jacky yang hilang pekerjaan dan mengganggur.


Mereka tidak mampu berbuat apa-apa selain bergantung harapan dari “handout” Putrajaya dan pemulihan ekonomi yang cepat. Namun malangnya, “Big Shot” di Putrajaya yang gila kuasa telah membiarkan dan meninggalkan mereka ini.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Wangsa Maju

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page