Apakah keperluan speaker mohon hakim tangguh bicara kes Najib? - Chang Lih Kang


Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang mempersoalkan tindakan speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang memohon hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak hadir di Parlimen.


Beliau meminta penjelasan daripada speaker kerana permohonan tersebut bermakna perbicaraan kes Najib terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.


"Bolehkan saya dapatkan penjelasan, apakah keperluan tuan speaker menulis surat kepada mahkamah minta tangguhkan perbicaraan.


"Padahal giliran Ahli Parlimen Pekan untuk berbahas boleh ditangguhkan," katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.


Azhar dilihat tergagap, dan mengambil masa untuk menjawab persoalan sebelum menyatakan sebab beliau membuat permohonan.


"Beliau (Najib) sudah minta ditangguhkan perbicaraannya tapi dinafikan. Kita ada doktrin pembahagian kuasa iaitu parlimen, mahkamah dan eksekutif mempunyai kuasa yang sama rata.


"Saya berpendapat slot oleh kerana Ahli Parlimen Pekan adalah waktu petang jadi saya minta hakim agar menimbangkan permohonan beliau datang ke Parlimen, itu sahaja, saya tak perintah mereka," katanya.


Bagaimanapun, Chang terus mempersoalkan tindakan Azhar yang menganggap tindakan itu seolah-olah menyebelahi Najib.


"Ini satu perkara serius kerana giliran Ahli Parlimen Pekan boleh ditunda ataupun diawalkan, speaker sendiri boleh memastikan ia tidak bertembung dengan perbicaraan mahkamah.


"Ahli Parlimen lain pun ada kes mahkamah, takkan speaker akan tulis surat setiap kali perkara ini berlaku. Adakah speaker mahu beri gambaran bahawa setiap kali ada Ahli Parlimen berdepan kes, speaker akan tulis surat untuk tangguhkan kes," katanya.


Azhar bagaimanapun hanya mengatakan ia adalah budi bicara beliau dan beliau sekadar memohon pertimbangan hakim.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio