Apakah Dewan Muslimat Pas kini sokong budaya hina, kata kata kesat?
- Azuan Ab Rahman

- Apr 18
- 1 min read

Exco Wanita KEADILAN Pusat, Noraziah Mohd Razit (gambar) mempersoalkan apakah Dewan Muslimat Pas kini menyokong budaya hinaan dan kata-kata kesat atas nama kebebasan bersuara.
Beliau dalam satu kenyataan membangkitkan persoalan itu susulan kenyataan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh yang mendakwa wujud “intimidasi terhadap suara wanita” susulan penahanan seorang pengguna media sosial dikenali sebagai “Jorjet Mylas” baru-baru ini.
"Kita perlu jelas wanita yang dimaksudkan tersebut (ditahan) bukan sekadar bersuara tetapi memaki hamun, menggunakan kata-kata jelik dan lucah untuk menghina Perdana Menteri secara terbuka.
"Intimidasi berlaku jika ruang bersuara ditutup, dihalang atau ditindas. Tetapi dalam kes ini yang menjadi isu adalah cara dan batasan yang telah dilanggar," kata Ketua Wanita KEADILAN Pasir Gudang itu.
Noraziah sementara itu menegaskan kebebasan bersuara bukan lesen untuk sewenangnya melempar penghinaan terhadap mana-mana individu. Beliau juga menegaskan bahawa kritikan terhadap kerajaan boleh dibuat, namun dengan cara beradab, berfakta dan beretika.

Justeru tegasnya, persepsi cuba dimainkan Dewan Muslimat Pas dengan membawa gambaran wujud intimidasi dalam kes tersebut adalah tafsiran yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.
"Ini bukan intimidasi, ini adalah soal memelihara generasi!. Kita tidak mahu anak-anak membesar dalam budaya di mana mencaci, menghina dan menggunakan kata-kata kotor dianggap sebagai “keberanian bersuara”.
"Jika kita mula mempertahankan penggunaan bahasa lucah dan penghinaan terbuka, maka kita sedang merosakkan asas nilai masyarakat, lebih-lebih lagi kepada generasi muda
"Apa yang lebih membimbangkan, muncul pula pihak yang cuba mengangkat tindakan sebegini sebagai perjuangan wanita," tambahnya.
Menerusi kenyataan sama, Noraziah mengingatkan golongan wanita supaya tidak merendahkan martabat diri dengan menggunakan bahasa yang menjatuhkan maruah sendiri.




Comments