top of page

Apa Strategi Disebalik Umno Bertanding Solo?

Updated: Oct 23, 2021



Oleh: Redzuan Shamsudin


ULASAN: Kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu telah pun membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu untuk tidak bersama Bersatu dalam mana-mana pilihan raya dan Umno akan bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan tamparan hebat kepada Perikatan Nasional (PN).


Pemerhati politik melihat kenyataan Zahid itu memalapkan masa hadapan PN terutama Pas yang pernah menjadi sekutu Umno dalam Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu.


Strategi utama Zahid


Namun terdapat juga pertanyaan apakah sebenarnya strategi yang cuba dimainkan oleh Zahid ketika sebahagian pemimpin utama Umno seperti Shahidan Kasim, Annuar Musa dan Hishamuddin Tun Hussein bersungguh-sungguh inginkan Umno bersama PN dalam PRN.


Adakah Zahid akan melakukan bunuh diri politik, terutama apabila beliau membayangkan parti itu akan menang secara solo menempuh PRN walaupun ia tidak banyak berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu daripada segi sokongan dan pola pengundian.


Dalam PRU 14, BN bertanding sendirian, manakala Pas yang bertanding banyak kerusi cuba menjadi pemecah undi. Hasilnya BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH) kerana undi Melayu berbecah belah.


Senario berkenaan menjadi sebaliknya apabila MN dibentuk dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil berikutnya. Penyatuan undi Melayu berjaya mempamerkan kekuatan baharu lantas memberi mimpi ngeri kepada pemimpin Bersatu yang kemudian berpaling tadah membentuk Perikatan Nasional, bertujuan mengelak kekalahan dalam PRU 15 andainya masih bersama PH.


Bagaimanapun, dalam PRN kali ini pemimpin utama Umno berkeras untuk tidak bersama-sama Bersatu yang telah berjasa mengembalikan mereka ke dalam kerajaan. Keputusan PAU adalah alasan utama dan masuk akal. Namun Melaka bukanlah gelanggan politik yang selesa buat Umno selepas PRU 14.


Benar terdapat kajian mengatakan pengundi Melayu telah kembali menyokong Umno apabila Bersatu berpecah dua dan tidak lagi diyakini menjadi parti yang mantap. Pas pula dengan hanya 10% undi popular dalam PRU lalu tidak memberi apa-apa kesan kepada kemenangan Umno.


PH mampu menang


Cuma faktor yang tidak boleh diperkecilkan adalah keupayaan PH untuk mencuri kemenangan di kawasan-kawasan campuran apabila undi Melayu tidak berpadu. Dalam formula Umno plus PN sebelum ini, PH mungkin akan kalah di beberapa kerusi yang dipertahankan mereka. Ada pendapat mengatakan PH hanya akan menang sekitar 8 - 10 kerusi DUN daripada 28 kerusi. Namun dengan formula pemecahan undi Melayu, keadaan mungkin berlaku sebaliknya.


Terdapat andaian Zahid mahu membuktikan kepada Pas, tanpa Umno maka PN tidak selamat dan gabungan itu akan kalah teruk. Seandainya pertandingan 3 penjuru berlaku maka PN diharap akan kalah kesemua kerusi, sama ada di tangan Umno atau pun PH. PN yang akan masuk PRU 15 kelak tentunya tidak lagi berani bergerak sebagai gabungan tersendiri sebagaimana di dalam PRN Sabah yang menunjukkan prestasi cemerlang.


PN di Semenanjung selepas ini akan dipastikan mengikut telunjuk Umno. Mungkin sekiranya mereka ingin bergabung bersama BN maka syarat wajib adalah kesemua kerusi Ahli Parlimen Umno yang melompat masuk Bersatu akan ditandingi calon Umno dan Bersatu diberi kerusi ganti di kubu KEADILAN atau DAP.


Manakala pimpinan Pas pula akan gentar untuk terus bermain 'dua kolam'. Mereka perlu memutuskan untuk bersama PN atau pun MN dalam PRU 15.


Ketika ini Zahid melihat pengaruh kumpulan profesional dalam Pas amat kuat dan mula menekan 'geng ustaz' dalam pemilihan Pas di peringkat Kawasan yang ditandai dengan kekalahan beberapa calon pro ulama di beberapa negeri.


Mengikut satu sumber yang maklum hal ehwal dalaman Pas, hanya geng ustaz berkeras mahukan MN sebaliknya kumpulan profesional mahukan PN


"Senario politik dalam Pas ialah Geng Profesional di bawah dagu Presiden sedang melumpuhkan Geng Ustaz.


"Hanya Geng Ustaz sahaja yang inginkan MN, maka kerana pemilihan sekarang agak meruncingkan kedudukan Geng Ustaz dalam Pas, maka mereka sedang berusaha mempertahankan kedudukan dalam parti berbanding memberi tumpuan kepada PRN Melaka," kata sumber berkenaan.


Oleh itu, kekalahan PN di Melaka amat penting bagi Zahid untuk memaksa kumpulan profesional Pas kembali kepada hala tuju asal MN pada 2018 lalu.


Adakah Umno mampu menang?


Persoalan penting, adakah Umno akan menang PRN dengan percaturan Zahid ini? Hal itu sukar untuk dijawab kerana beberapa kajian awal menunjukkan Umno tidak sepenuhnya menguasai suasana di Melaka.


Terdapat kebenaran kemarahan rakyat terhadap 4 ADUN PN yang menarik sokongan sehingga jatuhnya kerajaan di bawah Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.


Tidak puas hati itu juga terpalit kepada PH kerana 'terlibat' dalam menerima 4 ADUN tersebut ketika pengumuman bersama untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Ali Rustam awal Oktober lalu.


Namun, isu utama masih berkisar kepada kekuatan Umno selepas kejatuhan kerajaan BN. Umno tidak lagi semantap dahulu dan sebilangan orang Melayu Melaka telah sedar mereka tidak perlu lagi bergantung kepada parti itu untuk mendapatkan kualiti Ketua Menteri yang hebat serta pro rakyat seperti Adly Zahari yang berprestasi cemerlang selama 22 bulan.


Dalam hal ini, tidak keterlaluan diramal Umno boleh memenangi PRN Melaka tetapi belum tentu mampu membentuk kerajaan. Sekiranya PN menang beberapa kerusi maka senario selepas PRN akan menjadi sangat menarik, sama ada Umno ingin bersama PN sebagaimana di peringkat nasional atau mahu bersama PH.

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page