Mengapa Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan dalam penyasaran subsidi diesel?
Mengambil kira kebergantungan tinggi ekonomi tempatan ke atas bahan api diesel dan keperluan pembangunan di Sabah dan Sarawak, Kerajaan bersetuju tidak melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak buat masa ini. Ini mengambil kira faktor geografi serta kebolehlaksanaan mekanisme fleetcard terutamanya di kawasan pedalaman.
Pelaksanaan di Semenanjung Malaysia juga dilihat sebagai usaha fasa pertama yang memberi ruang kepada syarikat-syarikat minyak untuk membangunkan kemudahan serta infrastruktur dan bersedia sekiranya akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Saya adalah daripada golongan rentan yang memerlukan bantuan subsidi diesel namun demikian tidak tersenarai dalam mana-mana kategori golongan yang dibantu, apakah langkah yang boleh saya ambil?
Pemohon boleh membuat rayuan melalui portal BUDI https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI atau mengemukakan emel kepada budimadani@treasury.gov.my.
Dengan bantahan daripada pelbagai pihak, kenapa Kerajaan tetap ingin laksanakan program penyasaran diesel?
Matlamat utama Kerajaan dalam penyasaran semula subsidi diesel adalah untuk memastikan kelestarian ekonomi negara, mengurangkan ketirisan kepada aktiviti penyeludupan dan memastikan penggunaan subsidi diesel hanya kepada sektor yang wajar dibantu seperti sektor pengangkutan darat awam dan logistik pengangkutan darat barangan.
Fokus utama Kerajaan adalah untuk menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel. Pada masa yang sama dalam melaksanakan program BUDI MADANI, Kerajaan komited untuk memastikan impak kepada rakyat adalah minimum.
Ke manakah wang penyasaran subsidi ini akan dibelanjakan?
Fokus utama Kerajaan adalah untuk menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel. Hasil daripada penjimatan subsidi ini akan disalurkan semula untuk memanfaatkan rakyat dan kepada pembangunan negara. Antaranya akan digunakan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti serta mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif selaras dengan hasrat Kerajaan dalam menaikkan lantai di bawah Ekonomi MADANI.
Sebahagian daripadanya akan dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk pembangunan sosio-ekonomi dan pengurusan fiskal negara.
Apakah manfaat yang akan diterima oleh golongan yang mampu dan juga pembayar cukai terbesar?
Pada tahun 2023, Kerajaan membelanjakan lebih RM80 bilion bagi keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan termasuk subsidi pertanian, bantuan tunai dan jumlah terbesar perbelanjaan adalah bagi tujuan subsidi kepenggunaan iaitu sebanyak RM50 bilion termasuk subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur.
Jumlah tanggungan subsidi ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kutipan cukai individu yang dipungut. Berdasarkan statistik, pembayar cukai individu hanya merangkumi 15% dari 16 juta tenaga kerja dan penyumbang terbesar cukai adalah cukai syarikat berbanding cukai individu.
Hasil cukai ini digunakan bagi menyediakan akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada segenap lapisan masyarakat di samping memastikan infrastruktur awam berada dalam keadaan yang baik. Kerajaan juga menyediakan insentif cukai kepada pembayar cukai sebagai pelepasan cukai tambahan.
Comments