top of page

'Apa khabar semua?' - Tok Min kemas rumah kampung, netizen puji sikap berlapang dada

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Tok Min mengemas barang barang berpindah masuk ke rumahnya selepas meninggalkan kediaman MB
Tok Min mengemas barang barang berpindah masuk ke rumahnya selepas meninggalkan kediaman MB

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun terus mencuri perhatian warga maya apabila dilihat tenang meneruskan rutin hariannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan berkongsi aktiviti mengemas barang di rumah kampung menerusi akaun Threads miliknya.


Menerusi hantaran ringkas itu, Aminuddin yang lebih mesra disapa sebagai Tok Min turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mengirimkan kata-kata semangat selepas keputusan pilihanraya.


"Apa khabar semua? Terima kasih atas ucapan yang baik-baik, saya baca satu persatu. Alhamdulillah. Agenda hari ini kemas barang-barang yang dipindahkan di rumah kampung."


Hantaran itu meraih pelbagai reaksi positif daripada pengguna Threads yang memuji sikap beliau yang disifatkan kekal tenang, berlapang dada dan sentiasa mengukir senyuman walaupun tidak lagi menerajui pentadbiran negeri.


Pengguna Threads, Syapiksaad menyifatkan Aminuddin kekal ceria walaupun tewas dalam PRN sambil berharap pentadbiran baharu mampu menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat.


"Korang bayangkan Tok Min yang kalah ni dia punya senyum ceria macam menang... tak apa kita tengoklah mereka selesaikan isu adat Negeri Sembilan."


Seorang lagi pengguna, Fanamz turut merakamkan penghargaan atas jasa Aminuddin sepanjang menjadi Menteri Besar, khususnya dalam membantu pelajar di negeri itu.


"Terima kasih Tok Min! Kerana Tok Min, saya bekas pelajar Negeri Sembilan banyak dapat bantuan belajar dulu," ujarnya.


Turut meninggalkan komen ialah Syazmanazri yang menyifatkan Aminuddin telah meninggalkan rekod pentadbiran yang baik sepanjang memimpin Negeri Sembilan.


"Allah nak bagi dan nak tarik kuasa bila-bila saja. Janji dah tinggalkan rekod bersih untuk Negeri Sembilan."


Sementara itu, pengguna Zeynikerdawi83 menyifatkan wajah Aminuddin sentiasa tenang walaupun berdepan pelbagai ujian manakala Hermanshah Abd Hamid turut berkongsi pengalaman mengenai sumbangan beliau kepada Negeri Sembilan Art School.


Pada Pilihan Raya Negeri, Sabtu lalu, Pakatan Harapan (PH) kehilangan pentadbiran Negeri Sembilan selepas gagal mempertahankan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).


Aminuddin yang bertanding di kerusi DUN Linggi turut tewas sekali gus menamatkan tempoh beliau sebagai Menteri Besar selepas menerajui negeri itu sejak 2018.


Walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi kerajaan negeri, perkongsian santai Aminuddin di media sosial itu dilihat menerima sambutan positif dengan ramai netizen menyifatkan beliau menerima keputusan pilihanraya secara matang serta terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page