
Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Tanjong Karang, Nor Omar sebagai Pengerusi Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) dipersoalkan.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, perlantikan tersebut amat tidak memenuhi merit, kelayakan serta kesesuaian memandangkan Noh tiada pengalaman dalam industri perkapalan.
Apatah lagi, menurut Lee, Noh beberapa tahun lalu pernah dikaitkan dakwaan skandal Projek Ternakan Udang.
Lee berkata, lantikan terbaharu ini seolah-olah lelucon ‘Penternak Udang juga boleh mempengerusikan hal berkenaan Perkapalan Antarabangsa’.
"Ahli-ahli Parlimen PN kebelakangan ini bukan sahaja dilantik memegang jawatan di agensi dan lembaga awam, malahan perlantikan politik melimpah ke jawatan-jawatan di Syarikat Milik Kerajaan (GLC).
"Petronas merupakan pemegang saham utama MISC, oleh itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri boleh mempengaruhi perlantikan ini.
"Namun begitu, pada suku pertama 2020, MISC mencatat kerugian bersih sebanyak RM 1.16 bilion dan pada tahun 2019, MISC menanggung tunai negatif sebanyak RM 6.8 bilion.
"Adakah perlantikan Nor Omar sebagai Pengerusi MISC dapat membawa pembaharuan dalam visi atau arah untuk organisasi tersebut?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Lee juga membariskan rekod kurang cemerlang Noh ketika menerajui kementerian dan perbahasan di parlimen sebelum ini.
Menurut Lee, Noh ketika menjawat Timbalan Menteri Dalam Negeri, mengulas satu kes pelancong warga China yang ditindas dalam balai polis telah mengeluarkan kenyataan meminta warga asing tidak datang ke Malaysia jika berpendapat polis menindas mereka.
Pada tahun 2019 pula Noh pernah berkata dalam sidang Parlimen bahawa mencuri adalah tidak bersalah tetapi hanya bersalah jika ditangkap.
Oleh itu, perlantikan Noh, kata Lee, sangat tidak wajar dilakukan oleh kerajaan PN. Perlantikan itu seolah-olah mengabaikan kepentingan negara demi menstabilkan Kerajaan PN.
"Perlantikan ini selari dengan rakaman suara yang didakwa mirip Muhyddin Yassin baru-baru ini, dengan menggunakan jawatan-jawatan lantikan politik menarik sokongan Ahli Parlimen Umno untuk menyertai Parti Bersatu.
"KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya ‘Perlantikan Udang’ yang tiada had batasannya demi untuk mengukuhkan rejim PN dan mengorbankan kepentingan negara.
"Muhyiddin sebagai Ketua PN juga sepatutnya tampil ke hadapan menjelas dan mengesahkan keaslian rakaman suara yang tular tersebut," kata ADUN Semambu itu lagi.
Comments