Ketua Penerangan AMK Selangor, Adzman Kamaruddin mempersoalkan tindakan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin iaitu Hizwan Ahmad yang menasihatkan pakar perubatan mengenai isu sanitasi awam.
Adzman mendakwa, Hizwan hanyalah seorang setiausaha politik, sekali gus tidak layak untuk memberikan sebarang nasihat mengenai apa juga isu yang berkaitan dengan perubatan.
Justeru, beliau meminta Hizwan mengemukakan bukti kelayakan akademiknya.
"Saya cabar dia sebelum nak bercakap banyak, tolong kemuka dan buktikan kelayakan akademik dia terlebih dahulu, sebelum nak ulas perkara yang bukan dalam bidang beliau," katanya.
Terdahulu, Hizwan menasihatkan pakar perubatan, Dr Adeeba Kamarulzaman supaya menumpukan perhatian kepada kes Covid-19 di Selangor berbanding mengkritik program sanitasi awam dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ini selepas Dr Adeeba mempersoalkan program sanitasi awam berskala besar yang dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang disifatkannya sebagai pembaziran sumber daya yang terhad sedangkan ia boleh disalurkan untuk memperoleh alatan yang lebih diperlukan pasukan perubatan.
Comments