Apa jadi kepada negara jika rakyat ambil tindakan sendiri?


Negara akan huru hara sekiranya rakyat bertindak sebagai polis, pendakwa dan hakim sendiri ke atas sebarang salah laku yang berlaku di sekeliling mereka.
Bagi ADUN Semambu, Chan Chun Kuang, insiden serangan bom petrol ke atas premis KK Mart di Kuantan pagi tadi akan menjadi lebih serius sekiranya rakyat terbawa bawa dengan sentimen yang ditiupkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Jika setiap rakyat mengambil tindakan sendiri untuk menghukum tanpa mempeduli pihak penguatkuasa, sama ada polis, pendakwa raya dan juga mahkamah yang diberi amanah untuk menjalankan tugas siasatan, perbicaraan dan hukuman, apakah yang akan terjadi dengan negara yang tercinta ini?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang itu, serangan ke atas premis perniagaan KK Mart perlu dihentikan demi menjaga kestabilan negara.
Katanya, pihak yang disyaki melakukan kesalahan telah pun dihadapkan ke mahkamah dan rakyat perlu menunggu keputusan perbicaraan mereka dengan sabar.
"Pemilik KK Mart dan juga pihak berkepentingan telah diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa dan didakwa ke mahkamah kelmarin.
"Beri masa yang secukupnya untuk proses pendakwaan, perbicaraan berjalan dan mahkamah yang menentukan kesalahan pihak-pihak yang terbabit kerana gagal menjaga sensitiviti rakan-rakan umat Islam," katanya.
Kira kira pukul 5 pagi tadi, KK Mart Sungai Isap, Kuantan mengalami kerosakan akibat dilempar bola api pada kira kira jam 5 pagi. Premis tersebut mengalami kebakaran kecil pada karpet di laluan masuk namun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam serangan terbabit.




Comments