Anwar-Trump: Komitmen Malaysia pastikan keamanan serantau
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya berkaitan isu Kemboja–Thailand.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam perbualan telefon bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, hari ini.
PM menjelaskan bahawa Malaysia akan terus memikul tanggungjawab sebagai pemudah cara keamanan di rantau ini.
"Saya tegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya terkait isu Kemboja–Thailand," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut PM, Presiden Trump dalam perbualan itu mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai satu pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan Malaysia serta keteguhan ASEAN.
"Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai," jelas Anwar.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Malaysia menantikan kehadiran Presiden Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, yang disifatkan sebagai platform penting untuk mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Perbualan telefon itu berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Jamieson Greer, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan.