Anwar tokoh terbaik Menteri Kewangan, pastikan tatakelola telus
- Suara Keadilan

- Nov 22, 2023
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh paling layak menjadi Menteri Kewangan kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mampu memastikan proses tatakelola dan perolehan kerajaan berjalan lebih telus.
Beliau berkata langkah itu juga bagi mengelakkan berlaku masalah tatakelola seperti ketika pertadbiran sebelum ini termasuk membabitkan kes "Jana Wibawa'.
"Kalau contohnya sama ada ada senator seperti Menteri MITI (Tengku Zafrul) menjadi Menteri Kewangan atau Kapit (Alexander Nanta Linggi) dari segi kuasa pengaruh politik, kami ini dikira junior.
"Kalau ada yang cucuk sana cucuk sini, akhirnya lobi tetap akan pergi kepada PM. Saya pasti Pagoh (Mahiaddin Yassin) pun pasti benda ini berlaku sebelum ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mahiaddin (PN-Pagoh) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi yang tidak bersetuju dengan saranan agar dilantik Menteri Kewangan berasingan dengan Perdana Menteri berkata, tugas memulihkan ekonomi diagihkan kepada kementerian-kementerian berasingan.
Jelas beliau, bidang kuasa Kementerian Kewangan pula hanya menguruskan dasar fiskal iaitu menguruskan aliran tunai, kutipan cukai dan perolehan perbelanjaan.
"Sebahagian besar dari perancangan pelan ekonomi dan dasar sederhana dan jangka masa panjang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi kemudian pelaksanaan diusahakan bersama dengan kementerian yang ada mandat dan tanggungjawab dan tatakelola, kerana Menteri Kewangan memastikan proses perolehan itu benar-benar telus.
"Sebab itu tokoh paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri kerana siapa (Menteri) yang ada tanggungjawab paling besar untuk memastikan tatakelola perolehan untuk mengelakkan seperti yang berlaku sebelum ini.
"Seperti kita pernah tahu, ada kawan kawan Jana Wibawa di sebelah sana (blok pembangkang di Dewan Rakyat)," katanya.
Mahiaddin dalam soalan tambahannya bertanya adakah kerajaan bersetuju mengasingkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri
Dakwanya, berdasarkan pemerhatian dalam kalangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi menyatakan mereka masih belum yakin tentang proses pemulihan ekonomi negara walaupun sudah setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
Menjawab dakwaan Mahiaddin itu, Rafizi mempersoalkan adakah dalam pentadbiran selama 33 bulan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berlaku pertumbuhan ekonomi pada setiap suku selama tiga kali berturut-turut sebagaimana berlaku sekarang.
"Di mana yang Pagoh kata ekonomi tidak pulih? Semasa Pagoh jadi kerajaan selama 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut yang ada pertumbuhan ekonomi? Tiada. Tidak pernah ada. Ini kali pertama sejak bertahun lamanya.
"Kadar kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi dari sebelum ini, pertumbuhan ekonomi, momentum baik, inflasi paling rendah. Jadi di manakah Pagoh kata rakyat tiada keyakinan sedangkan kita lihat sedikit demi sedikit keyakinan itu telah pulih termasuklah dengan kemasukan pelaburan.
"Kalau Pagoh tidak yakin tidak mengapa, tapi jangan guna dan tunggang nama rakyat dan pelabur-pelabur lain," katanya.




Comments