
Ucapan tahniah yang mencurah curah daripada ketua kerajaan negara asing membuktikan Perdana Menteri Malaysia ke 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf sebagai salah satu pemimpin berpengaruh dunia.
Sejak petang semalam, ucapan tahniah juga diterima daripada Kesatuan Eropah, Jepun, negara negara Arab dan dari pelbagai belahan dunia.
Dalam catatan ringkas beliau di Facebook rasmi, Anwar mengucapkan terima kasih di atas penghargaan dan doa berkenaan.
"Terima kasih semua kepada yang terus mengutus ucapan tahniah dan saya amat menghargainya.
"Tanpa dukungan dan usaha kalian, kita tidak mampu mencapainya hari ini.
"Fokus kini adalah menjelmakan perubahan yang didambakan, dan masanya adalah sekarang," katanya.
Anwar mengutus ucapan balas kepada rakan rakan sejawatannya. Salah satu adalah kepada Perdana Menteri India, Shri Narendra Modi.
"India adalah rakan kongsi penting bagi Malaysia. Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama rapat dengan anda untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan budaya," kata Anwar dalam balasan mesej teks.