
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) Doctor of Law dari unversiti ulung, University of the Philippines.
Beliau juga menyampaikan syarahan umum berjudul '30 Years After The Asian Renaissance: Strategic Takeaways for ASEAN' di universiti berkenaan.
"Dalam ucaptama, saya singgung sejarah penubuhan ASEAN serta kemajuan dan perubahan dari segi kerjasama antara negara tetangga di rantau ini, dan menekankan bahawa perserikatan ini mesti terus terpahat atas hujah berkongsi identiti yang sama meski rencam bangsa dan budaya.
"Konsep ini dicerakinkan dengan baik oleh ‘The Great Malayan’ Dr. José Rizal dalam ‘The Philippines a Century Hence’ tatkala negara Filipina tertubuh kuat meski berlainan kepulauan, bahasa, budaya dan etnik," katanya dalam catatan di Facebook.

Anwar amat terkesan dengan isu isu semasa yang melanda negara Asia Tenggara dewasa ini serta berharap ASEAN terus berpadu dan kukuh dalam menyikapi isu-isu mendesak.
Berkenaan Manila, ibu negara Filipina yang amat dekat dihati beliau, Anwar menyingkap era mudanya yang sering bertemu para sahabat di negara itu dalam membincangkan isu serantau ketika beliau memimpin gerakan belia di peringkat Asia dan dunia.
"Saya menghimbau sejarah lampau tatkala saya sering ke Manila di tahun-tahun lampau semasa masih sebagai seorang mahasiswa dan universiti ini adalah tempat yang akan pasti dikunjungi untuk perbincangan terkait pelbagai hal bersama sahabat-sahabat di sini.
"Justeru, Manila sangat istimewa dan bukanlah kota asing buat saya secara peribadi," katanya.