Anwar, Sultan Brunei perkukuh hubungan M'sia-Brunei menerusi ALC-27
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan sesi Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) dengan mengadakan pertemuan empat mata bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, hari ini.
PM berkata, pertemuan berkenaan memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin bertukar pandangan secara terbuka dan mesra berhubung pelbagai perkara berkepentingan bersama.
"Pertemuan ini memberi ruang untuk saya dan Paduka Seri Baginda Tuanku bertukar pandangan secara terbuka dan penuh mesra terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, berteraskan hubungan akrab, kepercayaan dan persahabatan istimewa yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut beliau, pertemuan empat mata itu kemudiannya disusuli dengan sesi menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pengurusan Bencana antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Katanya, pembaharuan MoU berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pengurusan bencana.
"Pembaharuan MoU ini juga mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan," katanya.
Anwar berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara terus diberi keutamaan, selain menyokong usaha serantau dalam menghadapi cabaran bencana.
"Usaha ini bukan sahaja penting dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah melengkapi inisiatif di peringkat ASEAN dalam mendepani cabaran bencana yang semakin kompleks," katanya.
Terdahulu, Anwar dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
Menurut Anwar, penganugerahan tersebut amat bermakna dan menjadi lambang keakraban serta persaudaraan istimewa antara Malaysia dengan Brunei Darussalam.




Comments