top of page

Anwar rasmi balai bomba baharu Tambun



Kerajaan tidak akan berkira-kira untuk menambah peruntukan kepada pasukan bomba dan penyelamat bagi memastikan perkhidmatan pasukan itu sentiasa ditambah baik.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun semalam berkata, peranan dimainkan pasukan itu amat besar yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa atau harta benda, malah juga mengurangkan kerugian yang ditanggung negara.


"Bila bomba pantas selamatkan kebakaran seperti rumah kedai atau kilang umpamanya, itu juga adalah sumbangan kepada pacuan ekonomi negara kerana dapat mengelakkan adanya pihak terpaksa menanggung kerugian


"Kalau kita tanya cukupkah peruntukan untuk bomba ini? Saya kata tak kan cukup, tapi seiring pemulihan ekonomi, kita akan sentiasa tambah peruntukan kepada kementerian terlibat," kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.


Pembinaan balai bomba baharu di Tambun itu disifatkan penting kerana kedudukannya di kawasan pesat membangun meliputi sehingga kawasan Tanjung Rambutan dan Chemor.


Ia juga dapat memendekkan masa menyelamat kerana kedudukan balai bomba yang terdekat adalah di Ipoh dan Meru Raya.


Sementara itu beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan keputusannya melonjakkan peruntukan kepada JBPM melalui peruntukan RM206.64 juta dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini didasari kecemerlangan ditunjukkan pasukan itu dan permintaan peribadi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan agar penghargaan diberikan khusus kepada mereka yang terbabit dalam operasi cari dan menyelamat (carilamat) mangsa gempa bumi di negara itu, sebulan lalu.


"Semangat dan pengorbanan mereka (pasukan Malaysia) sangat-sangat dikagumi rakan-rakan kita di Turkiye dan khususnya apabila presidennya sendiri sebut kepada saya bahawa dia minta agar sampaikan penghargaan kepada rakan-rakan (pasukan carilamat).


"Pengalaman saya dan bomba juga bukan baharu kerana saya sendiri memperkenal dan beri sokongan agar pasukan bomba di negara ini mengenakan pakaian berceloreng ketika 1990-an dahulu, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada jasa mereka ketika itu termasuk kepada Indonesia," katanya yang turut mengumumkan naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dari Balai Kategori D ke Balai Kategori C.


Dengan pengumuman itu, bilangan perjawatan di balai berkenaan akan ditambah kepada 29 anggota diketuai Ketua Balai gred KB29, selain sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) juga ditempatkan di sana bagi tujuan operasi pemadaman dan penyelamatan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page