Anwar ucap takziah pengasas UKM meninggal dunia
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh persuratan Melayu dan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid yang meninggal dunia pada Ahad lepas.
Anwar berkata Allahyarham Abu Bakar, 88, merupakan seorang sarjana besar negara, tokoh ilmu serta pemuka persuratan Melayu yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia akademik dan pendidikan negara.
“Saya bersedih tatkala dikhabarkan mengenai berita seorang sarjana besar negara iaitu mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid yang telah kembali ke rahmatullah.
“Beliau merupakan tokoh dan pemuka persuratan Melayu yang unggul, selain merupakan watak penting dalam usaha penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Perdana Menteri, beliau turut mengenang Allahyarham sebagai seorang guru yang bukan sahaja mencurahkan ilmu, malah sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada anak muridnya.
“Sebagai salah seorang anak muridnya, kami amat menyayangi dan mengasihi beliau tidak hanya sebagai seorang guru, namun juga sebagai seorang yang cintakan ilmu dan yang sentiasa memberi semangat kepada semua,” katanya.
Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beroleh keistimewaan di sisi Allah SWT.
“Semoga Allah SWT mengampuni dosanya, memberi kelegaan kepada ruhnya di alam sana dan mengurniakan tempat yang istimewa buat ruhnya,” katanya.
Allahyarham Abu Bakar dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya sekitar tengah malam akibat sakit tua.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Bagan, Batu Pahat, Johor meninggalkan empat anak.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) untuk disolatkan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dalam dunia akademik, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pensyarah di UM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UM dari 1987 hingga 1989.
Antara sumbangan penting beliau termasuk mengasaskan rancangan penulisan kreatif dan deskriptif pada 1976 yang kemudiannya berkembang menjadi Jabatan Pengajian Media.
Jawatan terakhir beliau di UM ialah sebagai karyawan tamu dan Prof Emeritus di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.




Comments