top of page

Anwar - Putin bincang isu bekalan petroleum, dagang guna mata wang tempatan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar dan Putin mesra dalam pertemuan membincangkan perdagangan, teknologi, hubungan dua hala
DS Anwar dan Putin mesra dalam pertemuan membincangkan perdagangan, teknologi, hubungan dua hala

Sewaktu dunia memasuki ketidaktentuan ekonomi, Malaysia melangkah ke hadapan dalam memastikan jaminan bekalan tenaga yang berterusan apabila menjadikan Rusia sebagai rakan strategik untuk meluaskan kerjasama jangka masa panjang.


Bukan lagi sekadar panggilan telefon tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengetuai delegasi negara dalam pertemuan dua hala bersama Presiden Vladimir Putin di Kazan bagi membincangkan perkara itu.


Kedua-dua pemimpin meneliti pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang juga antara bidang strategik bagi kedua-dua negara.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan Anwar dan Putin menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.


"Perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, serta penerokaan mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu ringgit dan ruble," kata kenyataan itu.


"Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal."


Kata Jabatan Perdana Menteri, kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia dari 17 hingga 18 Jun.


Sementara itu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri berkata Malaysia menghargai komitmen Rusia dalam memperkukuh kerjasama dua hala termasuk sokongan yang diberikan ketika krisis tenaga sebelum ini.


Beliau berkata Rusia turut bersetuju memperluaskan rangkaian penerbangan bagi tujuan pelancongan, perdagangan dan hubungan rakyat antara Malaysia dengan beberapa bandar utama negara itu termasuk Moscow dan Kazan.


Mengenai pengecualian visa, Anwar memaklumkan rundingan hampir dimuktamadkan dengan perkembangan yang memberangsangkan.


Pada masa sama, beliau memuji pendirian Putin berhubung isu Gaza dan Iran yang disifatkan konsisten serta berprinsip.


Sementara itu, Putin berkata Rusia dan Malaysia mempunyai asas kukuh untuk terus memperluaskan kerjasama ketika kedua-dua negara menghampiri ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan.


Beliau berkata, perdagangan dua hala mencatat pertumbuhan 12.9 peratus pada 2025, selain menegaskan kepentingan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta hubungan kemanusiaan.


Putin turut mengalu-alukan sokongan Malaysia terhadap usaha memperkukuh perkongsian strategik antara Russia dan ASEAN.


Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sidang kemuncak yang dihoskan Putin yang turut menjadi platform mengeratkan hubungan dan bertukar pandangan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page