Anwar - PM Kanada bincang kerjasama teknologi, perdagangan
- Redzuan Shamsudin
- Nov 18, 2023
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kanada hari ini membincangkan kerjasama ekonomi dan teknologi di sela sela sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Menurut PM, bidang kerjasama tenaga juga turut dibincangkan bagi memantapkan pelan peralihan tenaga Malaysia menuju ke arah sektor tenaga boleh diperbaharui.
"Awal pagi tadi saya juga mengadakan pertemuan bersama rakan sejawat saya dari Kanada, Justin Trudeau.
"Dalam pertemuan ini kami membincangkan kaedah dan usaha untuk perkukuh kerjasama pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
"Perbincangan kami juga tertumpu kepada kerjasama dalam bidang keselamatan siber, pendidikan, tenaga dan perubahan iklim," katanya.
Kedua dua pemimpin negara itu juga mengalu alukan perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Blackberry bagi mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara.
Dalam pada itu, Anwar menimbulkan isu Palestin agar diberi pertimbangan yang lebih manusiawi oleh pihak Kanada terhadap kekejaman serangan Israel.
"Kami juga sempat bertukar-tukar pandangan terkait isu Palestin, di mana Trudeau maklumkan kepada saya bahawa terdapat keperluan untuk melindungi rakyat dan menangani krisis kemanusiaan itu.
"Saya menegaskan terdapat keperluan untuk menangani punca konflik itu dan menamatkan penjajahan Israel selain menekankan bahawa Israel telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin sejak beberapa dekad lepas tanpa dikenakan hukuman dan terus membina dan meluaskan penempatan haram.
"Kami bersetuju bahawa konflik pada masa ini perlu dijadikan peringatan kepada komuniti antarabangsa mengenai keperluan untuk menamatkan penjajahan Israel dan menghentikan kezaliman ke atas warga Palestin," katanya.
Selain itu, PM turut membangkitkan isu visa pelancong Malaysia ke Kanada.
"Saya mengambil peluang ini untuk membangkitkan isu visa dengan Kanada berikutan pelancong Malaysia perlu mendapatkan visa Kanada dengan tempoh menunggu antara empat dan enam bulan.
"Manakala Malaysia memberikan visa ketibaan (yang mudah) kepada pelancong Kanada," katanya lagi.
* Foto kredit ALBARRA AZFAR - PMO
Comentarios