Anwar pemimpin pertama ucap tahniah kepada Presiden Prabowo
- Suara Keadilan

- Mar 21, 2024
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu Prabowo Subianto yang diumumkan sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 semalam.
Sambil mengucapkan selamat maju jaya, Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan berterusan dan kemakmuran Indonesia.
"Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.
"Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU (pemilihan umum). Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting," kata Anwar menerusi catatan di Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata beliau dan Prabowo bertekad memperkukuh hubungan dua hala mencakupi pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutama dalam ruang lingkup ASEAN.
Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024.
Hasil rumusan KPU menunjukkan Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah manakala dua lagi wilayah dimenangi pesaing mereka, pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar.
Beliau menggantikan bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang menamatkan penggal pentadbirannya yang disandang sejak 2014.









Comments