Anwar: Pelan Damai Gaza perlu dipantau rapi capai keamanan berkekalan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

ASEAN menyambut baik Pelan Damai Gaza yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi menamatkan semua pertempuran dan melancarkan program menyahradikalisasi di seluruh enklaf Palestin.
Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan semua usaha di bawah pelan komprehensif itu perlu dipantau secara teliti bagi memastikan matlamatnya benar-benar tercapai.
"Kami menegaskan bahawa usaha ini perlu diteruskan dan dipantau dengan rapi agar keamanan yang berkekalan dapat dicapai, selain memastikan wujudnya penyelesaian politik yang inklusif, adil dan lestari untuk Palestin," katanya dipetik.
Pendirian itu dinyatakan Anwar ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pelan damai diumumkan Trump pada September lalu mengandungi 20 perkara bagi menamatkan perang di Semenanjung Gaza yang kini masih terkepung.
Pelan tersebut merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin yang bebas daripada pengaruh politik bagi mentadbir wilayah berkenaan.
Anwar pada pertemuan singkat bersama Trump sebelum Presiden AS itu berlepas ke Jepun semalam menyatakan penghargaan terhadap peranan AS dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza yang disifatkan sebagai sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.









Comments