top of page

"Tanpa saudara-saudara, tak kami berdiri di sini" - PM Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
PM mahu golongan Otai Reformis mengisi agenda perubahan yang dibawa kerajaan. Foto: FB Anwar
PM mahu golongan Otai Reformis mengisi agenda perubahan yang dibawa kerajaan. Foto: FB Anwar

Oleh: Hasbul Ahmad


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa golongan veteran Reformis atau “Otai Reformis” memikul amanah besar untuk terus memandu agenda perubahan sistem negara, dengan prinsip musyawarah sebagai teras utama kepimpinan ketika kerajaan kini berada dalam kedudukan berkuasa.


Menurut beliau, perjuangan Reformasi sejak awal bukan bertujuan menukar individu semata-mata, sebaliknya menuntut pembaikan menyeluruh terhadap sistem agar menjadi lebih adil, berintegriti dan bebas daripada rasuah serta penyelewengan.


"Kita ingat. Kita yang dilantik itu hasil dari keringat, air mata, perjuangan rakan rakan semua.


"Perjuangan itu menuntut perubahan. Sistem, bukan orang. Perdana Menteri dan Menteri boleh silih berganti, tetapi yang kita tuntut ialah sistem yang lebih adil," katanya pada Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang hari ini.


Anwar turut mengimbau budaya perjuangan awal reformasi yang berteraskan kesederhanaan, kebersamaan dan semangat pengorbanan sejak dua dekad lalu.


Malah katanya, majlis yang dianjurkan para reformis waktu itu juadahnya dimasak sendiri, dibawa dari rumah dan anggota baharu KEADILAN jarang merasai pengalaman seperti itu.


"Dalam keadaan kita dulu mengharung, berjuang dalam keadaan susah....


"Sekali lagi saya nak ucap penghargaan setinggi tingginya (kepada reformis). Tanpa saudara saudara, kita tidak akan berdiri di sini," katanya.


Oleh itu, beliau berharap para menteri dan pimpinan hari ini prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh para Otai reformis.


Kata Anwar, peranan Otai Reformis menjadi semakin penting ketika KEADILAN-Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, agar sejarah panjang perjuangan tidak berakhir dengan kekecewaan, sebaliknya diterjemahkan kepada panduan dan teladan kepada generasi muda yang tidak melalui sendiri era getir Reformasi.


Beliau memuji kesepakatan golongan Reformis veteran yang menunjukkan kematangan politik melalui kerjasama dan saling menghargai inisiatif yang menyatukan perjuangan.


Katanya, sikap tersebut wajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda sebagai asas membina budaya politik berprinsip.


"Otai tahu sejarahnya. Tetapi sejarah itu bukan untuk mengangkat seorang atau sepuluh orang. Sejarah itu adalah tuntutan kepada perubahan, islah dan pembaharuan sedaya upaya kita," katanya.


Mengulas realiti politik semasa, Anwar mengingatkan kekuatan kerusi Parlimen yang terhad menuntut kepimpinan yang waras, bijaksana dan berdisiplin dalam membuat keputusan.


"Kadang-kadang kita bercakap seolah-olah menguasai 200 kerusi Parlimen, sedangkan realitinya tidak begitu. Sebab itu perubahan mesti dilakukan dengan kefahaman, kebijaksanaan dan rundingan yang baik," ujarnya.


Dalam konteks ini, Anwar menegaskan bahawa prinsip musyawarah perlu menjadi teras kepada peranan Otai Reformis, khususnya dalam mengurus perbezaan pandangan antara parti-parti dalam kerajaan.


Menurut beliau, budaya berbincang dan mencari titik persamaan adalah prasyarat penting untuk memastikan agenda Reformasi dapat diteruskan secara berkesan dan berterusan.


"Tapi satu hal yang tak boleh kita sangkal, kita tegak untuk bawa perubahan. Tolak rasuah. Tolak penyelewengan. Tolak keangkuhan.


"Kita juga ikrarkan, kalau nak buat perubahan, masa kita ada kuasa. Inilah cabaran kepada kita yang memerintah," katanya.


Walaupun mengakui proses membawa perubahan bukan mudah dan tidak semua pihak akan bersetuju, Anwar menegaskan terdapat prinsip yang tidak boleh dikompromi, iaitu pendirian tegas untuk menolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan kuasa.


"Mereka yang biasa dengan rasuah tidak akan senang dengan kita. Mereka yang pernah menceroboh kebebasan badan kehakiman juga tidak akan menerima keputusan yang memulihkan kebebasan itu."


Katanya, pengalaman luas yang dimiliki oleh golongan veteran Reformis perlu dimanfaatkan sebagai pengimbang dan pendamai dalam kalangan pimpinan parti.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page