Anwar, Mahmoud Abbas bincang henti keganasan Israel


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersetuju untuk berusaha menamatkan keganasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
Dalam satu ciapan di aplikasi X, PM berkata, perbualan beliau dan Abbas di telefon semasa lawatan ke Riyadh, Arab Saudi hari ini membuahkan kata sepakat bagi menghentikan serangan udara rejim Zionis di Semenanjung Gaza.
"Kami berdua sepakat bahawa perlunya usaha tuntas bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan yang berlaku ketika ini.
"Kami juga berharap agar semua pihak dapat berusaha untuk memastikan bantuan kemanusian disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin.
"Saya juga menerima penjelasan terkait serangan yang dilakukan rejim Zionis ke atas orang awam, sayugia kami berdua mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut," katanya.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) hari ini di Riyadh.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu adalah pertama kali diadakan sebagai platform penting dan peluang memperkukuh hubungan antara negara-negara ASEAN dan GCC melalui kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya.
Terkini konflik Israel - Palestin telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa kebanyakannya orang awam di Gaza berikutan serangan udara yang masuk hari ke 12 berturut turut.




Comments