
Pengerusi NGO Pro98 Reformis Dr Badrulamin Bahron memberi peringatan kepada rakyat Malaysia agar tidak terus melantik dan mempertahankan pemimpin yang khianat kepada Allah dan Rasulnya.
Mantan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang lebih baik daripada kalangan kepimpinan negara sedia ada dan ketokohan beliau menepati kehendak Islam.
Katanya, negara tidak akan diberkati sekiranya orang yang lebih layak memimpin diketepikan.
"Dalam al Quran dan hadis banyak mengatakan soal pimpinan yang adil, yang baik. Cukup saya kongsikan hadis Nabi s.a.w, riwayat Baihaqi, apa kata nabi?
"'Sesiapa yang melantik seseorang pemimpin sedangkan dia mengetahui dalam kalangan orang Islam itu masih ada yang lebih utama (lebih diredai Allah atau lebih layak), maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin'.
"Saya tidak mahu mengagungkan Anwar Ibrahim kerana dia Anwar. Tetapi siapa tidak kenal Anwar Ibrahim?
"Di antara ramai pemimpin, mana yang menepati kualiti sabda Nabi s.a.w? Berilmu, berakhlak, memahami kitab Allah dan sunah Rasulnya. Siapa lagi selain Anwar? Akhlak peribadi, akhlak keluarga, mashaAllah," katanya dalam forum bertajuk 'DSAI PM9 Malaysia, langkah ke hadapan' di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, kelmarin.
Menurut Dr Badrolamin, rakyat perlu bangkit menjaga amanah kepimpinan. Sekiranya amanah itu tidak dijaga maka rakyat akan bertanggungjawab dan berdosa kerana mengekalkan kepimpinan yang curang.
"Kita jaga amanah ini. Sebab amanah lawannya khianat. Kita tak mahu khianat dan kita nak memperbaiki apa yang berlaku hari ini.
"Pemimpin yang dipilih di kalangan orang yang bobrok akhlaknya, tiada ilmu. Siapa bertanggungjawab? Kita yang bertanggungjawab.
"Semoga hadis ini sampai kepada yang di luar sana dan dapat maklumat yang tepat," katanya lagi.