Anwar lakukan lawatan rasmi ke Jepun, temui PM Sanae Takaichi
- Helmi Mohd Foad
- 4 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasminya ke Tokyo bermula hari ini hingga Rabu ini atas jemputan Kerajaan Jepun sekali gus memberikan peluang kepada kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala dan meneroka Kerjasama baharu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya Sanae Takaichi merangkumi perbincangan tentang pelbagai bidang selain bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
"Mesyuarat itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti perkembangan hubungan dua hala serta merintis kerjasama baharu bagi kedua-dua negara susulan peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.
"Bidang-bidang utama perbincangan dijangka akan merangkumi isu-isu berkaitan teknologi hijau, daya tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serantau, serta kerjasama pendidikan tinggi," kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Selain program libat urus dua hala, Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo dan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Future of Asia sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan dan memperkasa dialog bersama pihak Jepun serta rantau yang lebih luas, kata Kementerian Luar lagi.
"Menyedari peranan berterusan Jepun sebagai sumber utama Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Sesi Meja Bulat bersama pemimpin industri di Jepun bagi meneroka peluang-peluang pelaburan bernilai tinggi yang baharu di Malaysia," katanya.
Menurut rekod rasmi kerajaan, Jepun merupakan salah satu rakan ekonomi terpenting bagi Malaysia yang berada di kedudukan sebagai rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global sejak 2024.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala telah direkodkan sebanyak RM142.96 bilion (AS$33.39 bilion).
Setakat Disember 2025, sejumlah 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (AS$31.0 bilion).
Projek-projek ini telah menjana 347,346 peluang pekerjaan.
