Anwar ke Singapura hadiri pertemuan dengan SU Pertahanan AS
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth di Singapura esok, langkah yang dilihat sebagai tindakan Malaysia mengimbangkan dasar luarnya di tengah ketegangan geopolitik antara kuasa besar itu dengan China.
Minggu ini, Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN menganjurkan buat kali pertama Sidang Kemuncak ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dengan dihadiri Perdana Menteri Li Qiang.
Perdana Menteri berkata beliau telah dijemput oleh rakan sejawatannya Lawrence Wong agar turut berucap di persidangan pertahanan Shangri-La Dialogue yang turut dijadual dihadiri pegawai tinggi AS itu.
"Jadi esok saya ke Singapura, Shangri-La Dialogue kerana Perdana Menteri Lawrence. Saya sebenarnya jarang nak pergi majlis-majlis yang (melibatkan) pertahanan kerana ada Menteri Pertahanan.
"Tapi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang jadi seorang kawan baik, bekerjasama, runding, boleh teks Whatsapp, dan dia tiga kali dia kata “Anwar, please come. Important,” kata dia.
"Dia kata datanglah sekejap pun tak apa, bagi ucapan, kita jumpa sekejap, balik. Jadi saya kena pergi. Kemudian rupa-rupanya Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat mohon nak jumpa," katanya dipetik ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan di Penampang, Sabah.
Perdana Menteri berkata Malaysia meskipun sebagai sebuah negara kecil diberikan penghormatan apabila Setiausaha Pertahanan AS meminta diadakan perjumpaan.
"Jadi tentu saya kata ‘yes’. Kerana apa? Kerana saya nak jaga supaya Malaysia itu kekal dengan centrality (keseimbangan).
"Baik dengan negara China, baik dengan Amerika, baik dengan Arab, baik dengan India supaya negara ini mendapat perhatian, dapat pelaburan, angkat martabat rakyat dan negara ini," katanya.
Jelas beliau lagi, Malaysia memainkan peranan dalam ASEAN dengan mengukuhkan kerjsama bersama negara-negara Teluk dan China supaya terdapat keseimbangan bagi mengelak timbulnya masalah dengan AS.
Malah kata Anwar, beliau mengambil berat semua pertemuan yang diadakan dengan pemimpin negara asing walaupun ia sekadar bersarapan secara peribadi seperti diadakan bersama Perdana Menteri Li Qiang baru-baru ini.
"...walaupun itu dia kata private breakfast, bagi saya sangat penting," katanya.
Selepas itu katanya beliau bertemu pula dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani yang meminta diadakan mesyuarat dua hala untuk meningkatkan kerjasama termasuk pelaburan.
Dalam kesempatan itu katanya beliau secara peribadi bertanya kepada Sheikh Tamim mengenai rundingannya dengan Presiden Donald Trump di Qatar.
"Bagaimana selesai masalah Gaza? Macam mana pandangan tentang Ukraine? Bagaimana hubungan dengan Syria? Bagaimana dengan Iran? Semua kalau tidak tercapai keamanan, tempias itu sampai ke sini
"Jadi, nak jaga ASEAN sebagai satu, GCC, kemudian campur lagi China. Kemudian nak balance supaya jangan ada masalah dengan Amerika Syarikat," katanya.