Anwar, Kak Wan tidak pernah lupa jasa reformis - Azman
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Para penggerak reformasi atau Otai Reformis sentiada dikenang jasa mereka oleh Bapa Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Hal itu dinyatakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin hari ini dalam ucapan perasmian program Temu Rapat Sekretariat Reformasi Madani Malaysia (SRMM) yang bertema, ‘Hala Tuju Gerakan Reformis Malaysia bersama gabungan NG0-NGO’ diadakan di ibu negara hari ini.
Kata Azman, Kak Wan (Wan Azizah) sendiri yang menerima mesej dari rakan rakan reformis berkenaan penganjuran program hari ini telah menitipkan pesan bahawa jasa reformis sentiasa dikenang.
"Saya bawa pesan daripada beliau (Anwar) dan Kak Wan sendiri. Kak Wan hubungi saya dua hari lepas beliau tanya kehadiran saya pada program hari ini.
"Sebab saya rasa ada kawan-kawan kita yang hantar mesej tentang program ini kepada Kak Wan.. saya kata saya hadir.
"Kak Wan kata tolong bagitahu mereka bahawa beliau sentiasa ingat tentang para reformis.
"Kak Wan kata apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu para reformis ini kerana beliau dan Datuk Seri Anwar tak pernah lupa jasa-jasa kita," katanya.
Azman berkata demikian menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam ucapan Pengerusi SRMM menyarankan KEADILAN agar memberikan pengiktirafan rasmi kepada gerakan reformasi dan para pejuangnya yang menjadi tulang belakang perjuangan perubahan sejak 1998.

Pengerusi SRMM, Khairul Anuar Othman antara lain memohon agar KEADILAN atau Pakatan Harapan (PH) menubuhkan satu badan kebajikan yang dapat membantu para reformis ketika berhadapan keadaan sukar dalam kehidupan.
"Badan kebajikan ini perlu dikawal selia oleh satu lagi badan yang dilantik oleh para reformis. Ia menjadi satu payung besar kepada semua badan-badan NGO kepada semua individu-individu.
"Itu dua perkara yang kami minta. Perkara ketiga jika boleh, kami memohon parti dapat mengiktiraf sumbangan pejuang-pejuang reformasi ini dengan memberikan satu bentuk penghargaan dan melantik mungkin salah seorang daripada mereka sebagai senator," katanya.
Selain itu, Khairul mahu reformis lebih berperanan dalam parti parti PH terutama KEADILAN bagi menyampaikan pengalaman perjuangan mereka selama 27 tahun.








Comments