
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo sempena ketibaannya di Republik itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 semalam.
Pertemuan di bandar Manggarai Barat, wilayah Nusa Tenggara Timur itu berlangsung kira-kira 30 minit.
"Usai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo, saya terus ke Meruorah Komodo Labuan Bajo bagi kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Bapak Joko Widodo atau Jokowi.
"Saya dan Pak Jokowi senada dan sepakat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala berkaitan isu mendesak ASEAN yang menuntut kebersamaan Jakarta dan Kuala Lumpur.
"Moga keluarga ASEAN terus harmoni dan tenteram demi kemajuan bersama," kata Anwar melalui hantaran di laman Facebooknya.
Difahamkan pada pertemuan itu juga Anwar sempat mengutarakan lima agenda termasuk lawatan rasmi Jokowi ke Malaysia, rundingan tahunan dan isu sempadan membabitkan antara kedua-dua negara.
Mengenai pembatasan sempadan maritim, Anwar menjelaskan Malaysia bersedia untuk memuktamadkan draf Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Laut Sulawesi termasuk isu 'full breadth of territorial sea' di ‘40th Technical Meeting on Maritime Boundaries Delimitation’ yang dijangka diadakan tahun ini.
Untuk sempadan darat, Malaysia turut bersedia untuk menandatangani kedua-dua memorandum persefahaman (MoU) Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai di Sektor Sabah-Kalimantan Utara secara pakej tahun 2024 setelah kerja-kerja pengukuran di lapangan dan dokumentasi selesai.
Anwar turut menekankan keperluan kedua-dua negara mematuhi pelaksanaan MoU Garis Panduan Bersama bagi menjaga kemaslahatan dan keselamatan nelayan-nelayan di kawasan yang masih dipertikaikan di Selat Melaka.
Turut dinyatakan adalah kesediaan Malaysia untuk menyokong penganjuran mesyuarat Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala Ke-17 (JCBC) dan Rundingan Tahunan Ke-14 (AC) yang akan dihoskan Indonesia bagi merancakkan hubungan dua hala.
Malaysia juga sedang melengkapkan prosedur-prosedur domestik bagi membolehkan Perjanjian Melintasi Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Di Sempadan (BTA) ditandatangani semasa lawatan Jokowi ke Malaysia atau semasa Rundingan Tahunan Ke-14.