
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pembangkang bagi mesyuarat kedua, penggal ketiga untuk sesi Parlimen Ke-14.
Perkara itu disahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof yang mengumumkan bahawa pelantikan itu dipersetujui secara sebulat suara oleh kesemua ahli parlimen di blok pembangkang.
“Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson telah mendapat sokongan dari kalangan ahli-ahli pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.
“Syabas Yang Berhormat Port Dickson,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ini bermakna, pelantikan Anwar disokong oleh kesemua ahli parlimen pembangkang iaitu 91 ahli parlimen Pakatan Harapan dan 18 ahli parlimen bebas termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini merupakan kali kedua Anwar memegang jawatan tersebut, selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang Ke-12 pada 2008 dan memegang jawatan itu sehingga 2015.