top of page

Anwar Ibrahim dan Gagasan Ekonomi Manusiawi


Oleh: Prof. Dr. Saadiah Mohamad


ULASAN: Dalam menongkah arus pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini, kita berhadapan dengan tiga krisis utama yang melanda negara kini iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Namun, tiada jawapan dan penyelesaian mudah kepada krisis-krisis tersebut memandangkan ia sebenarnya menyerlahkan masalah yang telah lama meruncing. Selepas mengharungi tahun yang penuh dengan tragedi serta cabaran, kita seharusnya menetapkan Malaysia supaya kembali berada di landasan yang tepat dan sebenar. Ekonomi Malaysia pada tahun lalu mengalami kemelesetan hingga menguncup pada kadar 5.6 peratus.


Walaupun suku pertama tahun 2021 melihatkan penguncupan yang lebih perlahan berbanding tahun 2020, Fitch Ratings pula telah menurunkan ramalan pertumbuhan KDNK bagi tahun 2021 dari 4.9 paratus kepada 0 peratus ekuran kelembapan aktiviti ekonomi pada suku kedua tahun ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menurut Kaji Selidik oleh Kementerian Kewangan Malaysia, PKP 1.0 sebelum ini menyebabkan seramai 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian mengalami masalah dengan mata pencarian mereka. Ia juga menyatakan bahawa satu pertiga isi rumah tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan, selain 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai wang simpanan kurang daripada dua bulan.


Pandemik menjadi andemik


Nampaknya, pandemik kini sudah menjadi andemik, di mana ia akan berpanjangan untuk satu tempoh yang belum kita ketahui lagi bila ia akan berakhir. Hikmahnya, ia membawa kepada kesedaran terhadap masalah-masalah dan kepentingan mencari jalan penyelesaian segera kepada hal-hal yang mustahak, bahkan menerbitkan kecaknaan untuk mencorakkan masa hadapan yang lebih cerah. Justeru, kita perlu mempunyai komitmen politik yang jitu dan ikhlas untuk membawa perubahan bagi mengatasi kegagalan sedia ada.


Prof. Dr. Saadiah Mohamad

Keperluan pendekatan baharu yang kolektif dan holistik dengan melibatkan masyarakat madani dan ilmuan yang memberi suara kesedaran selain suara rakyat untuk menegak keadilan. Krisis ini menuntut penyelesaian yang segera kepada krisis politik kerana hanya kepimpinan yang kompeten dan inovatif dan membawa keberanian reformasi institusi berupaya membawa perubahan politik yang diperlukan untuk menyelesai pandemik, krisis kesihatan dan ekonomi.


Reformasi institusi diperlukan bagi mengatasi ketamakan dan kesombongan golongan elitis sehingga tidak mahu melepaskan jawatan meskipun sudah nyata gagal serta tidak mempunyai sokongan majoriti. Ikhtiar untuk membina semula negara dan menyuburkan harapan dalam sanubari rakyat terbanyak perlu digerakkan. Dengan berlakunya tahap pengangguran yang tinggi serta tekanan mental akibat wabak Covid-19, penyusunan semula struktur ekonomi dan sistem sokongan sosial serta tatakelola dan tadbir urus yang baik adalah sangat kritikal, bukan sahaja di era pandemik ini malah zaman pasca pandemik.


Ekonomi manusiawi


David Pilling menerusi karyanya, ‘The Growth Delusion: Wealth, Poverty, and the Well-being of Nations’ ada membincangkan berkenaan kaitan ekonomi manusiawi dengan pembangunan sesebuah masyarakat. Karya penting yang mengangkat ekonomi manusiawi yang lebih memihak kepada pembangunan rakyat ini merupakan dimensi penting yang telahpun diperingatkan oleh tokoh-tokoh ekonomi rakyat di tanah air semenjak sekian lama.


Dalam sejarah Islam, Abu Dzar al Ghifari r.a. merupakan antara sahabat Rasulullah SAW yang dikenang lantaran perjuangannya menyuarakan suara orang-orang miskin, apalagi yang direnggut haknya. Pejuang yang soleh ini merupakan sosok paling keras menolak kemewahan, ketelanjuran dan pengabaian nasib masyarakat.


Model ekonomi manusiawi yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan perlu diarusperdanakan bagi membangunkan masyarakat serta budaya berfikir. Ekonomi manusiawi adalah signifikan kerana ia memberikan fokus pembangunan ekonomi yang berpaksikan kepada pembangunan insan itu sendiri dengan mengambilkira maslahah umum masyarakat melalui pemahaman dan penghayatan prinsip prinsip besar maqasid syariah. Ianya merupakan satu gagasan pemikiran yang menuntut pembangunan ekonomi yang inklusif, adil dan mampan.


Kesenjangan ekonomi


Jelas, ekonomi manusiawi meliputi isu kemiskinan serta kesenjangan ekonomi yang berakarkan prinsip karamah insaniah – kemuliaan insan. Sentimen keadilan ini turut merangkumi prinsip hifz al mal, iaitu hak hak seseorang untuk mendapat nafkah kehidupan dan keselesaan yang minimum, di mana tidak boleh hanya segelintir kelompok yang membolot kekayaan lalu menafikan hak golongan yang rentan dan tertindas.


Istilah ekonomi manusiawi mula digunakan oleh Anwar Ibrahim dan catatan terawal penggunaan istilah ini ialah dalam bukunya ‘Gelombang Kebangkitan Asia’ yang di terbitkan pada 1997. Dalam buku Membangun Ekonomi Manusiawi terbitan sulung Forum Ekonomi Manusiawi tahun 2021, penulis bab kedua Kemiskinan, Kesenjangan Ekonomi dan Pendekatan Model Ekonomi Manusiawi memetik Anwar Ibrahim sebagai:

“Cita-cita untuk mencapai sistem ekonomi yang manusiawi lebih merupakan satu seni daripada satu bentuk kejuruteraan kerana sifat masyarakat pelbagai dimensi dan kerencaman persoalan ekonomi berkait rapat dengan politik dan kebudayaan.”


Jelas kerencaman ini menuntut kepimpinan yang bijaksana dan berhikmah untuk mengolah dan mencari penyelesaian yang segar dan berkesan bagi merungkai isu dan permasalahan ekonomi dan negara yang kian kompleks. Ia tidak boleh dengan pendekatan simplistik dan naif, dan bersifat retorika semata mata tanpa ada perincian yang teliti dari segi pelaksanaannya.


Satu lagi aspek kerencaman ialah aspek sosio budaya yang melatari Ekonomi Manusiawi. Ia menuntut penerimaan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia sebagai suatu rahmah dan meransang kepada pemupukan budaya aman hidup bersama. Gagasan Bangsa Malaysia yang melangkaui acuan serta tafsiran politik diangkat bagi memberi nafas baharu untuk mengatasi kemelut sedia ada. Selain itu, idealisme segar yang disaluti keimanan yang mendalam sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Kahfi, perlu disuburkan dalam kalangan para pemimpin yang ingin membawa perubahan.


Niai murni perpaduan


Nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perpaduan harus dikembalikan dalam kalangan bangsa Malaysia, selain semangat semak dan imbang yang perlu dibudayakan bagi membangunkan tanah air ke mercu kejayaan. Komitmen pemerintah dalam menolak sepenuhnya agenda perkauman sempit mampu mendorong kepada keseimbangan sosiopolitik dan perpaduan rakyat seluruhnya. Rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk saling menyebarkan keharmonian nmenerusi kewujudan toleransi dalam masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya.


Usaha akar umbi yang merentas etnik perlu dihargai dan dipergiat bagi mengatasi politik perkauman sempit yang ditiup sejak berdekad lamanya oleh golongan elit bagi mengekal sokongan politik. Sebuah kerajaan baharu mestilah di bentuk iaitu sebuah kerajaan yang mampu mengambalikan keyakinan majoriti wakil rakyat dalam sidang Parlimen yang terbuka, selain keyakinan rakyat terhadap kejujuran serta kewibawaan kerajaan tersebut.


Dalam naskah yang sama, Anwar Ibrahim menulis: “Cabaran ekonomi tidak satu. Ia datang dari pelbagai penjuru. Keghairahan menyelesaikan suatu masalah tanpa mempeduli aspek lain boleh menimbulkan masalah ekonomi yang lain.” Hal yang demikian, semua pihak perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan kemelut politik sedia ada dengan segera, memandangkan kestabilan politik mempunyai perkaitan yang rapat dengan krisis ekonomi serta kesihatan pada hari ini. Kita sebenarnya mesti melihat krisis pada hari ini sebagai krisis kemanusiaan yang memerlukan pendekatan manusiawi bagi mencapai solusi terbaik.


Nyata, pembangunan itu tidak seharusnya hanya dilihat dari segi angka dan pertumbuhan di atas kertas, tetapi juga perlu mengambil kira dari segi manusiawi. Pengurusan khazanah negara yang manusiawi lagi seimbang serta pengurusan awam yang telus dan kompeten adalah satu kemestian. Malaysia mesti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang lebih kompeten, berpengalaman, bijaksana selain mempunyai keupayaan, trek rekod yang baik dan kemampuan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.


Sesungguhnya, ekonomi manusiawi tidak hanya wajar diwacanakan di pentas akademik, tetapi juga mesti diterjemahkan dalam konteks tindakan, khususnya dalam hal-ehwal perjuangan awam. Pelbagai komitmen perlu dizahirkan oleh para pemimpin dalam isu kemiskinan rakyat dan pemberdayaan golongan terpinggir. Dalam memartabatkan nilai nilai murni berteraskan Islam sebagai agama yang syumul, kemanusiaan itu perlu ada dan pada masa sama dibantu pembangunan ekonomi daripada corak kepimpinan serta pemerintahan yang baik.


Semoga pada tahun tahun mendatang kita berjaya merialisasikan sebuah kehidupan budya damai hidup bersama (peaceful co-existence) dan pembinaan bangsa Malaysia yang berlandaskan nilai nilai murni dan kemanusian sejagat. Hanya kepimpinan yang berjiwa besar dan mempunyai world view dan misi manusiawi serta komited dengan agenda reformasi dan menjaga maslahah rakyat yang berkemungkinan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengekalkan kuasa pemerintahan yang lebih panjang hayat hidupnya.


__________________________________________________________________________________

Prof. Dr. Saadiah Mohamad merupakan profesor ekonomi di Universiti Selangor (UNISEL)

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page