Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang sebenarnya paling layak diangkat selaku Perdana Menteri.
Beliau berkata, Anwar membuktikan bahawa beliau bukan seorang yang mahu menjadi Perdana Menteri semata-mata apabila enggan bekerjasama dengan golongan pengkhianat mahupun kleptokrat.
"Namun, dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat dan kleptokrat.
"KEADILAN Selangor berpegang teguh dengan pendirian, seharusnya mandat rakyat pada PRU-14 dikembalikan kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat pada 9 Mei 2018 iaitu PH. Namun kemenangan tersebut telah dirampas oleh golongan pengkhianat dan kleptokrat," katanya.
Justeru, Halimey berkata, ini adalah cabaran buat pembangkang untuk bekerja lebih gigih lagi.
"Kami percaya gabungan PH Plus bersama Pejuang dan Warisan sebenarnya semakin kuat dan bersedia untuk menghadapi PRU-15.
"Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
"Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi demi rakyat serta apabila keadaan sudah stabil, kita siap untuk bertempur bagi mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU-15," katanya.
Pada masa sama, Halimey menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya golongan kleptokrat dan kluster mahkamah yang menyokong kerajaan tetapi terpalit dengan dakwaan di mahkamah tidak dilindungi oleh mana-mana pihak serta dibicarakan dengan adil dan saksama.
Katanya, dua individu berprofil tinggi yang mempunyai pertuduhan mahkamah wajar dibicarakan mengikut perundangan negara.
"Sebagai contoh, 4 pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama serta 47 pertuduhan membabitkan salah guna dana sebuah yayasan.
"Kedua-dua individu berprofil tinggi ini serta mana-mana ahli parlimen yang menyokong kerajaan dan menghadapi sebarang pertuduhan di mahkamah perlu dibicarakan dengan adil dan saksama tanpa campur tangan cabang eksekutif," katanya.
Selain itu, beliau turut mendesak supaya pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan semula ke atas kes video intim yang memaparkan seorang individu yang menyerupai seorang ahli parlimen dari blok kerajaan dan tidak melengahkan siasatan kes seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik ahli parlimen tersebut.
Comments