top of page

Anwar bertemu masyarakat Islam di Jerman, sumbang naskhah al-Quran

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Mar 13, 2024
1 min read


Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi enam hari di Jerman mengambil kesempatan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan komuniti Islam di Masjid Şehitlik, Berlin semalam.


Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia menyertai jemaah di masjid itu untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan masyarakat Islam terbabit.


"Penghargaan saya buat Duta Besar Türkiye ke Jerman, Ahmet Başar Şen yang turut bersama dalam sesi ini serta delegasi Malaysia yang lain.


"Dalam pertemuan ini kami sempat membincangkan soal pembangunan umat Islam di Jerman serta situasi yang menimpa warga Palestin.


"Kami juga nyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta," kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.


Perdana Menteri berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di negara itu bagi kegunaan sempena bulan Ramadan selain menyerahkan 12 naskhah al-Quran dengan sebuah daripadanya adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid.


Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus populasi dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.


Pada sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Isnin, Anwar mengkritik negara Barat kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.


Menurut Perdana Menteri, dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page