Anwar belum fikir rombakan Kabinet, Menteri umum letak jawatan masih bercuti
- Suara Keadilan
- May 29
- 1 min read

Tiada sebarang rombakan Kabinet akan dilakukan meskipun dua Menteri dari KEADILAN telah meletakkan jawatan semalam, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata beliau masih belum memikirkan perkara itu memandangkan kedua-dua ahli Jemaah Menteri tersebut masih dalam tempoh bercuti.
"Belum (fikir buat rombakan), mereka masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti," katanya dipetik kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Semalam media tempatan melaporkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini.
Tidak lama kemudian Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengambil langkah sama meletakkan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai.
Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu mengambil langkah meninggalkan kedudukan di Kabinet susulan kekalahan mereka yang berkempen secara berpasukan dalam pemilihan KEADILAN 2025-2028 baru-baru ini
Rafizi gagal dalam usahanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN setelah tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi tewas dalam usahanya mempertahankan jawatan naib presiden.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar telah menerima surat permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
Kenyataan itu memaklumkan Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.
Comments