top of page

Anwar 10 tokoh Islam berpengaruh: Kepimpinan PMX semakin diterima dunia - Amidi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 31
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Akhlak terpuji dan keperibadian mulia yang dimiliki Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menjadi antara kekuatan utama beliau dalam menjalin hubungan baik dan harmoni dengan masyarakat dunia.


Hal itu, kata Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, menyebabkan Anwar dengan mudah dinobatkan sebagai 10 orang Muslim Paling Berpengaruh di Dunia oleh sebuah kajian "The World's 500 Most Influential Muslims" yang diterbitkan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.


"Pihak Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN merakamkan rasa syukur dan bangga atas penyenaraian tersebut.

Amidi Abdul Manan
Amidi Abdul Manan

"⁠Ia memberikan erti bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin diterima dan mendatangkan manfaat kepada umat manusia.


"Keberadaan Datuk Seri Anwar di pentas kepimpinan dunia adalah suatu perkara yang amat dinanti-nantikan," kata Amidi dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, PM Anwar mampu menyantuni kuasa-kuasa besar dunia dengan penuh diplomasi tanpa tunduk, sekali gus memastikan ego mereka tidak tercalar dan menjadikan hubungan antarabangsa Malaysia lebih selesa dan lancar.


''Salah satu kekuatan beliau (Anwar) adalah daripada sudut pemikiran. Beliau mampu untuk menjalin hubungan dengan pemimpin Islam pelbagai aliran.


''Sunni mahupun Syiah, Arab mahupun A’jam, tradisionalis mahupun modernis, semuanya dirangkul atas dasar rasa hormat dan saling memahami.


''⁠Setiap pihak yang berpeluang berinteraksi dengan beliau berasa dihargai dan diterima setulusnya. Walaupun berbeza pandangan, namun tiada kata penghinaan dan perlekehan,'' katanya sambil memuji adab yang dimiliki anak kelahiran Permatang Pauh, Pulau Pinang itu.


⁠Lebih membanggakan kata Amidi, PM Anwar bukan tergolong dalam kategori kerabat Diraja yang kaya atau pemimpin negara yang mempunyai penduduk ratusan juta orang.


Namun, ujarnya, tersenarainya PM Anwar sebagai salah seorang daripada 10 Orang Muslim Paling Berpengaruh di Dunia adalah hasil peranan dan ikhtiar beliau demi masa depan umat yang lebih baik dan dihormati.


''Satu kenyataan oleh Allamah Sheikh Yusuf al-Qaradawi bahawa, PM Anwar adalah salah seorang pemimpin Islam yang diterima oleh masyarakat Timur dan Barat, sekali gus menjadikan pengaruh beliau merata dan diterima di seluruh dunia.


''Juga inspirasi daripada kisah Nabi Yusof yang terperosok di penjara, namun dengan akhlak ia mampu menawan hati Raja untuk kebaikan umat Mesir ketika itu,'' katanya lagi.


Justeru, Amidi berkata pihaknya merakamkan bangga atas penyenaraian Presiden KEADILAN itu sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World's 500 Most Influential Muslims, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page